Monday, July 28, 2008

LAPORAN POLIS TERHADAP DATUK SERI MOHD TAJOL ROSLI

KOTA BHARU,
29 Julai 2008 (Selasa)

Dewan Pemuda PAS Kbg Kerian hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak yang juga merupakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkaitan dengan kenyataannya yang berunsur rasuah politik.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 3 petang tadi. Ketuanya, Mohamad Nuri Yaacob, 37 berkata, tawaran bekas Menteri Besar Perak itu boleh disifatkan sebagai satu bentuk rasuah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997.

"Dalam laporan akhbar hari ini Tajol dengan jelas menyebut Umno Perak mengajak PAS bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh di mana wakil PAS kekal menjadi Menteri Besar. Manakala jawatan Exco diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan''.

"Berdasarkan kepada kenyataan itu jelas menunjukkan terdapatnya unsur 'tawaran jawatan' yang boleh disifatkan sebagai satu rasuah yang menyalahi Akta Pencegahan Rasuah 1997," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu beliau meminta pihak polis menyiasat terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut dan akhbar yang menyiarkan laporan berkenaan.

Mohamad Nuri juga menyifatkan kenyataan itu seumpama orang yang sudah tersepit dan mengharapkan pertolongan orang lain. Katanya, tindakan itu juga turut membuktikan Umno Perak masih berhasrat untuk berkuasa walaupun sudah ditolak rakyat.

Hadir sama memberi sokongan kepada laporan polis itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Baharuddin Mohd Nor dan anggota jawatankuasanya.

Dalam kenyataannya semalam, UMNO Perak mengajak PAS bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh dengan wakil Pas akan terus kekal sebagai Menteri Besar.



0 pendapat: