Saturday, October 24, 2009

PEMIKIRAN YANG KUNO DALAM BAJET 2010


Naskhah belanjawan yang ‘disembunyikan’ sehingga bacaan kali pertama jam 4 petang, Jumaat, 23 Oktober 2009 dilihat sebagai bajet paling tempang sejak krisis ekonomi 1997-98; lebih sedekad lalu. Di beberapa negara maju, teks bajet akan terlebih dahulu dipamer—lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan internet—kepada umum untuk dibincang terlebih dahulu. Ia tidak berlaku di Malaysia. Tidak pernah!

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak masih meneruskan amalan kuno meskipun berapi-api sejak menjadi PM, konon, mahu melakukan ‘pembaharuan’.

Tatkala diperakui—meski tidak secara langsung menyentuh penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)—sesungguhnya ekonomi Malaysia jelas tidak pernah mampu bangun untuk kembali bersaing di peringkat serantau, apatah lagi global.

Tentulah saya ingat, bagaimana di dalam pembentangan bajet pada Oktober tahun lalu, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan tahun ini yang pada awalnya dikatakan lebih 5%. Kemudian dikurangkan menjadi sekitar 3%.

Dua angka yang diberikan itu adalah tatkala Indonesia yang kini lebih deras pertumbuhannya menyebutkan unjuran hanya sekitar 3%. Singapura pula lebih realistik perkiraannya mengunjurkan angka -1%. Bayangkan bagi sebuah negara yang dikenali begitu cermat mengatur pertumbuhan pun hanya berani menyebutkan di bawah paras 1%. Tetapi pemerintah Malaysia, kala itu, terus khayal dan angkuh.

Tidak mahu mengakui kelemahan sendiri. Dalam kata mudah, langsung tidak mahu bermuhasabah, merenung kepincangan di dalam sistem pemerintahan dan ekonomi domestik. Hanya gelabah menukar-nukar angka pertumbuhan daripada 5 menjadi 3, dan 3 menjadi di bawah 1%.

Seperti biasa, elemen luar akan dituding sebagai penyebab kelembapan ekonomi. Namun, apakah menetapkan sasaran yang tidak berasas iaitu sehingga lebih 5% dan kemudiannya 3% tatkala pertumbuhan dalam negara lemah, juga adalah salah pihak luar? Hanya di dalam Pakej Ransangan kedua, barulah disebutkan secara ‘bisik-bisik’ bahawa pertumbuhan tahun ini dijangka hanya sekitar -1%, iaitu, sama dengan apa yang diunjurkan oleh Singapura.

Keangkuhan dan sikap sering menyalahkan faktor luar termasuk ketidaktentuan harga minyak mentah di pasaran dunia tidak dapat menyembunyikan kelemahan sendiri. Angka pertumbuhan terkini bagi tahun hadapan pula diunjurkan -3% peratus. Merosot lagi -2% berbanding tahun ini—sementara kita lihat, Indonesia yang dahulunya begitu payah untuk memacu ekonomi, mengunjurkan pertumbuhan lebih mapan iaitu mencecah lebih 5%, atau 7-8% lebih tinggi berbanding Malaysia.

Secara mikro ekonomi, Najib hilang fokus. Beliau tidak pasti kepada aspek atau bidang mana yang perlu diberi keutamaan selain menaburkan jumlah perbelanjaaan secara rawak. Krisis makanan global yang memuncak pada pertengahan tahun lalu tidak dijadikan asas untuk kembali memperkukuh sektor pertanian secara lebih radikal dan segera bagi memastikan pengeluaran produk tani dan makanan mencukupi.

Peruntukan yang dianggap besar sehingga RM6 bilion itu tidak lebih hanya untuk penyediaan infrastruktur pertanian di samping tidak ada jaminan ianya dapat memberi kesan langsung kepada petani dan lapangan pertanian. Agak membimbangkan apabila “romantisme” Najib kepada pencapaian Allahyarham Tun Razak Hussein bagi memusatkan dan mendominasi sektor pengeluaran makanan hanya di bawah Felda. Konsortium usahasama tiga agensi kerajaan itu menerima suntikan khusus sejumlah RM300 juta bagi menjayakan idea “gedung makanan negara”.

Kerajaan Najib akan menjadi kerajaan yang semakin memberat. Birokrasi bakal menjadi lebih ketat dan tentunya mempersulit pertumbuhan pasaran liberal. Mudahnya, birokrasi adalah “raja pasaran”, dan bukannya pasaran itu sendiri dapat menentukan dinamikanya sendiri.

Pada tingkat ini, Najib nampaknya bukan sahaja tidak mengerti bahawa aliran pertumbuhan dunia kini semakin bergerak ke arah dasar “ekonomi bebas” dan bukan lagi ekonomi dengan “kawalan’ atau “cengkaman negara” sepertimana kebanyakan negara blok komunis dan sosialis di era Perang Dingin.

Peliknya “pusingan ke belakang ini” dibuat ketika kerajaan sedar bagaimana peranan sektor swasta menguncup, terutama sejak sedekad lalu. Apa yang mahu dijayakan kerajaan, termasuk projek mega di bawah sekian banyak koridor pembangunan tampak sulit untuk dijayakan—projek yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah Badawi.

Pemberian insentif atau potongan cukai pendapatan sehingga 11% kepada para pekerja mahir yang bekerja di Wilayah Pembangunan Iskandar, misalnya tidak lain menunjukkan kerajaan begitu terdesak melihat kelembapan kemajuan projek berkenaan; sedangkan cukai individu kepada warganegara lain masih berada di paras 26%. Pengurangan 1% daripada tahun lalu.

Insentif atau pengurangan cukai peribadi yang dianggap sebegitu tinggi tidak bermakna kerajaan mampu menampung kos pembangunan mahupun hutang yang terus meningkat. Penerbitan perbagai bon atau skim simpanan baru tidak lain adalah petanda bahawa cairan wang rakyat yang berada di dalam pasaran mahu diceduk semula masuk ke dalam perigi kewangan kerajaan.

Sebuah skim seumpama KWSP yang diwujudkan, dinamakan Skim Persaraan bagi Golongan Bekerja Sendiri kepada orang ramai adalah petanda bahawa kerajaan kekurangan simpanan tunai. Bagi nelayan (contoh yang dibawakan oleh Najib sendiri) yang mencarum RM100 sebulan, pada umur 35 tahun akan hanya memperolehi semula wang mereka selepas melepasi usia pesaraan, iaitu 55 tahun. Jumlah wang yang bakal mereka perolehi selepas mencarum selama 20 tahun hanya RM40 ribu, dengan tambahan caruman kerajaan pada kadar 5%. Tidak ada sebarang jaminan bahawa wang mereka kelak tidak digunakan untuk menampung atau ‘menampal’ apa-apa projek kerajaan yang terancam sepertimana kerajaan pernah merangkus wang KWSP.

Apa yang harus diperhitungkan ialah, tentunya kerajaan menetapkan sejumlah wang tunai yang besar di mana rakyat yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pekebun dan peniaga kecil, tunai golongan ini dapat dikutip tiap-tiap bulan. Atau, dalam kata mudah, institusi yang menjaga kepentingan kewangan pekerja kerajaan dan swasta seperti KWSP bolehlah dikatakan sudah kekeringan tunai untuk membiayai projek mahupun program ekonomi kerajaan.

Pengurusan ekonomi Najib yang boleh ditafsir sebagai “anti-pasaran” semakin jelas apabila beliau mensyaratkan satu lagi kadar bunga yang tinggi kepada pengguna kad kredit yang kini mencecah 11 juta pelanggan. Satu hakikat yang sewajarnya dipertimbangkan oleh kerajaan ialah rakyat atau pengguna akan tetap berbelanja, dan menghalang daripada rakyat berbelanja adalah suatu kebijakan yang tidak bijak, walaupun alasannya konon untuk “rakyat berbelanja dengan bijak”.

Seruan agar rakyat “berbelanja dengan bijak” seperti yang dibebelkan Najib sangat diragui bahawa sebenarnya kerajaanlah yang berkehendak agar wang perbelanjaan berkenaan mengalir ke dalam akuan kerajaan; lari daripada pasaran.

Dalam kata lain, kerajaan akan berselindung di sebalik pembinaan infrastruktur sebagai lambang pembangunan—sedangkan sekian lama, di sanalah yang dibimbangi akan hanya menjadi lubuk berlakunya ketirisan sepertimana Laporan Audit Negara seminggu sebelum ini.

Apakah kita masih terpukau dengan beberapa pembangunan infrastruktur seperti yang diperuntukan di Wilayah Pembangunan Iskandar sehingga RM3.5 bilion (bersamaan lebih separuh daripada bajet untuk sektor pertanian!); atau RM1.3 bilion untuk menaik taraf politeknik; RM1.8 bilion untuk pembinaan sekolah baru; RM9 bilion untuk jalan dan jambatan sehinggalah pembinaan 14 mahkamah baru khas untuk kes rasuah; akan menjadikan tidak berlakunya rasuah dan ketirisan?

Seperti yang saya ungkapan di awal analisa ini, beliau nampaknya sengaja mahu meneruskan sistem dan amalan lapuk ekonomi-politik rejim Umno-BN dengan pemerintah mahu mengawal lapangan ekonomi lebih daripada kemampuannya. Hanya dengan cara sebegini, maka parti pemerintah, misalnya Umno dapat terus membiayai kerja-kerja politik untuk mengekalkan kuasa mereka. Kepentingan negara dan rakyat tidak diletakkan lebih tinggi daripada kepentingan parti politik.

Mengapakah tidak dipertanyakan persoalan akan kemelut tabung bantuan untuk peniaga kecil dan sederhana seperti TEKUN, gagal? Masakan tidak gagal, walaupun disediakan peruntukan sehingga RM200 juta tahun hadapan, tetapi yang berlaku di bawah pemohon pinjaman wajib mengisi borang Umno! Begitu juga dengan skim pinjaman atau bantuan kerajaan lainnya yang tidak akan pernah bisa profesional dan terlepas daripada percaturan politik ganas parti pemerintah.

Hambatan pertumbuhan ekonomi sebegini, yang kadang kala sangat kebudak-budakan terus berlangsung di dalam retorika bajet petang Jumaat, yang dalam masa yang sama terus mengumandangkan mantra “asas ekonomi negara terus kukuh”.

Ya, ‘kukuh’! Kukuh tatkala nelayan terpaksa ‘melabur’ RM100 sebulan untuk mendapat RM40 ribu selepas 20 tahun, sementara orang luar dilayan laksana anak emas dengan potongan cukai sehingga 11% berbanding rakyat biasa! Mengukur daripada semua siri pilihanraya kecil, termasuk yang terbaru di Bagan Pinang, dapat dirasakan bahawa parti pemerintah membelanjakan wang yang bukan kepalang. Lantas, sangkaan bahawa Umno-BN memang semakin ketandusan sumber ringgit ada asasnya, lebih-lebih lagi selepas mereka kehilangan sumber daripada dua negeri penting iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

Maka, tidak hairanlah bagaimana Najib secara terang-terangan menyebutkan bahawa kerajaan akan memaksimakan pengunaan harta-benda mahupun tanah milik kerajaan Persekutuan sebagai ‘sumber baru’ pendapatan kerajaan. Saya ada satu contoh bagaimana yang dimaksudkan bahawa harta atau tanah kerajaan persekutuan yang boleh mendatangkan hasil kepada segelintir orang, walaupun ia sewajarnya milik rakyat terbanyak.

Misalnya dalam sesi parlimen awal tahun ini, Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas bertanyakan kebenaran tentang Kem Transit Tentera Jalan Ampang yang dikatakan akan dipindahkan ke kawasan baru. Beliau meyakini bahawa tapak kem itu akan—bahkan sudah—diserahkan kepada sebuah syarikat untuk dijadikan kawasan komersial, iaitu pembinaan premis kondominium mewah dan komersial.

Persoalan yang timbul adalah perjanjian di antara kerajaan dan pihak swasta itu tidak dibentangkan di dalam Parlimen. Rundingan dan perjanjian yang sudah beberapa kali mencapai persetujuan itu dikatakan tidak akan menguntungkan kepada kerajaan kerana ia berat sebelah. Ia terjadi, sekali lagi, kerana dipercayai ada kepentingan pihak tertentu di peringkat tertinggi di dalam projek berkenaan.

Akibat kegagalan dan gagalnya untuk muhasabah oleh pemerintah, maka antara jalan mudah untuk meraih sokongan tidak lain adalah dengan menabur “gula-gula politik” di sana sikit, di sini sikit.

Pembiayaan mahupun pinjaman sejumlah RM200 juta kepada kegiatan seni tidak akan merubah atau menganjak mentaliti rakyat ke tingkat lebih tinggi. Kita tidak lupa bagaimana perunjukan lebih besar pernah diberikan sebelum ini di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohammad yang akhirnya hanya terbengkalai di tengah jalan. Apatah lagi andai gula-gula itu hanya bernilai RM50 kepada mahasiswa untuk memiliki komputer dan pengunaan internet broadband.

Bajet ini “bajet mengundur ke belakang”—yang boleh mengheret Malaysia terpelosok ke bawah paras ekonomi lebih parah apabila terus gagal bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa. Bajet Najib ternyata bukan sesuatu yang boleh diharap untuk berlangsungnya sebuah pembaharuan dan reformasi. Perubahan hanya retorika politik. Hanya untuk meraih undi. Memang benarlah kata pujangga, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!

Bajet ini tidak lebih hanya dalih baru daripada kerajaan yang meniti hujung usia kuasanya.

Artikel ini diubahsuai dari blog seorang 'sahabat'


SEJADAH BERDIRI? HAHAHA...



Diubahsuai dari artikel asal - laman blog Ust. Zaharuddin Abd Rahman

Aneh sungguh mentaliti orang melayu. Kalau dulu, telaga hikmat, cincin ajaib, sekarang ni sejadah berdiri pula. Malaysia sekarang ini dilanda wabak baru, selepas H1N1. Wabak dimaksudkan adalah peristiwa pelik sejadah ‘berdiri' di surau-surau. Maka gegak gempitalah seluruh alam buana. Tersiarlah juga gambar sejadah berdiri di pelbagai akhbar dan media. Tv3 khasnya. Hahaha.

Macam-macam pendapat kedengaran :-

1. Mungkin ini teguran Allah kepada hambanya" kata seorang ustaz.
2. Ini tandanya orang di sekitar surau tak solat, sampai sejadah terpaksa mendemonstrasikan apa yang patut dibuat" kata seorang pengulas yang lain.
3. Hebatnya islam, hingga ada sejadah berdiri" ada tak agaknya orang bukan Islam yang kagum dengan peristiwa ini sehingga boleh terpacul kata sebegini?

Memang benar, surau yang biasanya gersang dari pengunjung tiba-tiba menjadi penuh. Bertambah ramai kerana sejadah ‘berdiri'.

SAYA DITANYA

Biasanya saya tidak begitu meminati berita seperti ini, bukan ingkar atau menafikan, cuma Al-Quran itu sudah lebih dari ajaib untuk kita sebenarnya.

"Namun tidak mengapalah, ada sesetengah orang mungkin memerlukan yang lebih dari Al-Quran untuk beriman agaknya, seperti sejadah ‘berdiri', hmm pelik. Biarlah jika mereka ingin kagumi, asal akhirnya boleh kembali kepada Al-Quran." Tegas hati dalam saya bila terbaca satu tajuk berita di internet, tanpa saya minat untuk menekan dan membaca lanjut.

Namun satu hari, apabila saya ditanya berkenaannya dan diberikan link berita yang ditulis mengenainya. Tergerak pula hati untuk klik dan melihat gambarnya.

Subhanallah !

Saya tidak dapat menahan untuk senyum sejurus saya klik dan melihat gambar yang terpapar. Hati menjadi kurang selesa, minda laju berfikir. Saya memikir apakah yang telah jadi dalam pemikiran orang di zaman moden ini. Saya berfikir, adakah itu jenis ‘berdiri' yang dianggap hebat dan luar biasa?

Terus terang saya menjadi sedikit malu dengan gambar-gambar yang dipaparkan.

Mungkin anda tidak bersetuju dengan saya, anda bebas, namun saya tidak dapat memaksa hati dan minda saya untuk menerimanya sebagai keajaiban. Saya merasakan, agak ramai yang mentertawakan gelagat orang-orang surau yang mendakwa sejadah mereka ‘berdiri'.

PERTIKAIAN DAN MENJADI LAWAK

Saya mula terdengar lawakan orang. Pertikaian orang yang akhirnya akan memburukkan nama Islam dan penganutnya jua.

"entah budak nakal mana yang mendirikannya di waktu tiada mata yang melihat kecuali Allah, didakwanya luar biasa" kata sebahagiannnya. "Mungkin juga ada orang kampung yang berstrategi mempopularkan surau, kampung atau tempat mereka" seorang lagi memberi komen.

Sebelum ini saya membayangkan sejadah itu ‘berdiri' dengan tegak dan amat luar biasa. Namun rupanya, ‘berdirinya' ia hanya seperti piramid sahaja. Jika itulah bentuk ‘berdiri' yang dikagumi, sejadah di rumah saya pun boleh ‘berdiri'.

Saya tidak menafikan bahawa memang tersangat boleh, kuasa Allah untuk mendirikan semua sejadah-sejadah itu. Tapi tidak semua perkara yang luar biasa wajar dikongsi kepada umum, kerana sebahagiannya akan menjadi bahan gelak ketawa dan back fire kepada Islam dan penganutnya sendiri.

Sebenarnya lebih elok, jika benar-benar ia ‘berdiri' sekalipun, cukuplah bagi orang yang nampak untuk memuhasabah diri. Bagi saya, sesiapa yang dapat melihat sesuatu keajaiban, dialah target utama untuk insaf, sedar atau bertambah taqwa. Kemudian, diamkan sahaja atau kongsikan bersama mereka yang amanah dan dipercayai sahaja.

Kaedah ini mengambil manfaat dari ajaran Islam iaitu bagi mereka yang mendapat mimpi baik atau buruk. Mimpi baik perlu dirahsiakan untuk diri dan hanya wajar dikongsi kepada orang yang hampir, amanah dan dipercayai sahaja. Jika tidak mimpi yang baik itu akan sengaja diputar belit sehingga membawa kesan negatif kepada empunya mimpi, akibat hasad dengki manusia di zaman ini. Manakala mimpi buruk jangan sesekali dikongsi dengan sesiapa pun, buangkan ia dari minda sama sekali, selepas beristi'azah dan meniup ke kiri sebanyak tiga kali serta menukar posisi baringan. Itulah yang diajar oleh baginda Nabi s.a.w.

Kepelikan di zaman ini bukanlah mu'jizat yang perlu dikongsikan kepada awam. Mu'jizat hanya berlaku di zaman Nabi s.a.w, Karamah hanya berlaku kepada individu yang soleh tanpa kehendak dan kawalannya. Keajaiban lain boleh dilihat pada alam semesta, itulah keajaiban, tubuh kita adalah keajaiban, maka jika masih perlukan keajaiban tambahan untuk dikongsi dan diwarwarkan. Dalami hal tersebut, maka manusia yang beriman dengan logik juga akan terkejut dan mengkaguminya.

Justeru, jika benar-benar ingin menayangkan kepada umum juga, pilihlah sesuatu keajaiban yang benar-benar sukar disangkal logik aqal, minda para pembenci Islam dan orang kebanyakan. Jangan sampai ‘keajaiban' yang disangka hanya sesuai menjadi bahan tertawa sehingga Islam dan penganutnya diperlekeh. Seperti keajaiban sejadah ‘berdiri'.

Kita semua bertanggungjawab menjaga nama baik Islam dan penganutnya. Jangan pula tersangat sensitif dan tinggi benar imiginasinya sehingga mendakwa sejadah itu sedang solat. Banyak lagi perkara lain yang perlukan sensitiviti umat Islam, namun asyik tidak diendahkan.

Saya menjadi lebih bimbang apabila umat Islam terlalu mudah mengagumi perkara pelik, kelak nanti mudah diperdaya oleh ajaran-ajaran sesat dan kepercayaan tahyul serta khurafat, lantaran kenipisan iman dan ilmu.

Thursday, October 22, 2009

HARAPAN BAJET 2010


KUALA LUMPUR: Bajet sulung Datuk Seri Najib Razak yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, dijangka menggariskan beberapa strategi baru bagi meningkatkan kecekapan ekonomi negara dan meneruskan agenda memelihara

kesejahteraan rakyat semua kaum selaras konsep 1Malaysia. Bajet 2010 itu dikatakan akan terus memberi keutamaan terhadap usaha memperkasa agenda sosial, termasuk program perumahan, membasmi kemiskinan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan kemudahan awam di luar bandar, pembangunan wanita, pengurangan kadar jenayah dan rasuah serta peningkatan kecekapan pengangkutan awam.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) yang diperincikan Perdana Menteri pada 27 Julai lalu.

Walaupun bajet kali ini dijangka membabitkan pengurangan peruntukan perbelanjaan awam, ia akan diimbangi langkah strategik bagi memastikan momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara dapat diperkukuhkan.

Sehubungan itu, Bajet 2010 dijangka lebih bertumpu kepada usaha meningkatkan kecekapan menerusi kebijaksanaan mengurangkan kos operasi sektor awam dan pengurusan perbelanjaan pembangunan yang lebih berhemat.

Sumber memberitahu Berita Harian, Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka mengumumkan terbitan bon Islam dalam kategori Sukuk Simpanan Rakyat bagi membuka peluang kepada rakyat berbilang kaum menabung dan meraih pulangan yang berdaya saing.

Bon yang diterbitkan Kementerian Kewangan itu, dikatakan mampu menawarkan kadar pulangan yang kompetitif dengan purata yang lebih tinggi berbanding yang diraih menerusi simpanan tetap ketika ini.

Dari segi pembangunan, Bajet 2010 dijangka terus bersifat mengembang bagi meneruskan kesinambungan program pembangunan yang dirancang mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjumlah RM230 bilion yang akan berakhir tahun depan.

Sebagai bajet yang menjadi asas pembentukan model ekonomi baru dan pembentukan kerangka Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), Perdana Menteri dijangka mengumumkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menerusi usaha memperkukuh sumbangan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan.

Seorang ahli ekonomi di sebuah firma penyelidikan, berkata sebahagian masyarakat global kini ingin melihat kebijaksanaan kerajaan dalam mengurangkan defisit setelah melaksanakan pelbagai suntikan fiskal untuk pembangunan.

Katanya, pelaksanaan pakej dua suntikan kecemasan berjumlah RM67 bilion untuk meminimumkan kesan kegawatan global kepada rakyat negara ini, telah melonjakkan kadar defisit kepada 7.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Langkah itu ternyata menampakkan kejayaan, kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan negara ini tidak terjejas teruk ekoran kegawatan seperti yang dialami beberapa negara lain.

"Kini, komuniti global ingin melihat keupayaan Malaysia mengurangkan semula lebihan perbelanjaan. Sebahagian besar pelabur kini menjangka kadar defisit pada tahun depan adalah sekitar 7.0-7.5 peratus.

"Jika mampu diturunkan lebih rendah daripada itu, maka ia menggambarkan komitmen kerajaan yang mengambil serius perkara itu di sebalik jangkaan penguncupan hasil cukai lebih tujuh peratus," katanya.

Katanya, kadar defisit yang tinggi akan menggugat penarafan kewangan negara di peringkat antarabangsa, sekali gus menjejas nilai mata wang, perdagangan dan taraf pendapatan rakyat hingga boleh mengekang usaha transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Seorang ahli ekonomi lain pula menjangka cukai korporat secara keseluruhannya tidak turunkan, sebaliknya kerajaan akan memberi insentif pengecualian cukai khusus kepada industri dan pelaburan berimpak tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, cukai pendapatan juga dijangka tidak dikurangkan, tetapi mungkin terdapat insentif cukai bagi golongan berpendapatan sederhana yang memiliki anak ramai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan menaikkan cukai rokok dan perjudian dalam usaha menggalakkan amalan hidup sihat.

Mengenai unjuran ekonomi, beliau, berkata, kerajaan mungkin menyemak semula jangkaan kadar pertumbuhan KDNK tahun ini susulan prestasi pemulihan ekonomi negara yang di luar jangkaan pada separuh kedua tahun ini.

"Unjuran rasmi awal adalah antara -4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2009. Bagaimanapun, kerajaan mungkin menyemak semula kepada penguncupan yang lebih rendah. Pada tahun depan, kami menjangka ekonomi berupaya untuk kembali mencatat pertumbuhan positif iaitu lebih 1.5 peratus," katanya.

p/s :- Selamat membentang duhai Najib. Sumber : Berita Harian

Tuesday, October 20, 2009

ANALISIS PRK BAGAN PINANG :-


Dari kacamata seorang 'pemuda'

Salam Perjuangan.. Kata orang, ada rahmatnya dalam kekalahan :)

Sebelum meneruskan ulasan, adalah lebih baik kita pakat-pakat muhasabah diri. Kalah di Bagan Pinang bukan bermakna Pakatan Rakyat kalah dalam semua aspek. Kita cuma kalah satu DUN yang sebelumnya milik mereka. Sebenarnya, kita telah menang :- menang sejak hari penamaan calon, atau lebih tepat sejak UMNO menamakan Isa Samad sebagai calon. Itulah kemenangan Pakatan Rakyat, kerana mereka sanggup menggadaikan maruah demi meragut kemenangan tanpa memikir palitan rasuah yang melingkari calon.

Berikut adalah analisis peribadi penulis tentang faktor kemenangan BN:-

UNDI TENTERA
Bayangkan, daripada 4,000 undi tentera, PAS hanya menerima 600 undi sahaja dan selebihnya milik BN. Kenapa? Golongan tentera terhutang budi pada Najib?

UGUTAN KEPADA KAUM INDIA
Pengalaman di Manik Urai sangat berguna buat mereka. Ia pasti lebih terkesan di atas kesempitan hidup kaum india di estet-estet terutamanya kehadiran perayaan Deepavali hujung minggu ini. Ini adalah satu faktor penting dalam persoalan “Mengapa kerajaan suka melihat rakyat bergelumang dalam kesempitan hidup?”. Jawapanya ialah, apabila tiba saat yang diperlu seperti PRK / PRU, maka di sinilah peluang untuk membeli undi dari mereka-mereka yang terdesak.

CALON POPULAR
Memang Isa Samad adalah kaki rasuah. Tapi itu perkara ke-dua. Perkara pokok ialah Isa Samad adalah rakan mereka. Isa Samad seorang yang amat disenangi dan sentiasa berdamping di kalangan pengundi di Bagan Pinang. Walau Isa Samad hampir menghancurkan Negeri Sembilan sekalipun, walau Isa Samad bergelumang dalam politik wang, namun faktor ‘orang kita’ telah membutakan mata.

‘BY HOOK OR BY CROOK’
Barisan Nasional begitu terdesak untuk mengecap kemenangan. Segala taktik, strategi dan propaganda samada secara bersih mahupun kotor akan digunakan. Tidak dapat dibayangkan betapa hancurnya BN dan UMNO sekiranya kalah dalam PRK Bagan Pinang disusuli kecelaruan yang berlaku dalam beberapa parti komponen utama BN. Atas sebab ini jugalah, UMNO sanggup mencalonkan Isa Samad walaupun ia akan menjejaskan integriti UMNO dan BN dalam perspektif nasional.

Wallahua’lam e_where2006@yahoo.com