Wednesday, July 30, 2008

POSTMORTEM PRU12

PASIR TUMBUH
29 Julai 2008 (Selasa)

Bermula tengah 8 Mac lalu sehingga kini, bermacam–macam ulasan, pendapat, komen dan cadangan telah diketengahkan melalui pelbagai saluran bagi menghuraikan pelbagai pendapat, mahupun cadangan berkaitan dengan PRU12.

Pelbagai reaksi dapat dilihat. Ada yang masih sedih, terkejut dan sebaliknya. Namun begitu, dalam kita merayakan kemenangan ini, maka jangan dilupakan perjuangan kita sebenarnya hanya baru bermula. Perjalanan sebenarnya masih jauh lagi.

Saf pimpinan, pendokong dan penyokong haruslah terus menyusun strategi–strategi yang lebih ampuh, berbanding yang telah digunakan dalam PRU-12 lalu bagi terus menjamin kemenangan dalam PRU yang akan datang.

Untuk itu, Jabatan Pilihanraya PAS Kelantan telah 'turun' ke kawasan Kubang Kerian semalam, bagi melakukan post mortem berkaitan PRU12 di dewan SMU (A) Taqaddum Maarif, Pasir Tumbuh. Dianggarkan lebih 100 orang peserta telah hadir yang terdiri daripada AJK pemuda kawasan, muslimat & AJK MTD daripada ketiga-tiga DUN dalam parlimen Kbg Kerian.

Wallahua'lam



Tuesday, July 29, 2008

PROGRAM ZIARAH MUHIBAH

PASIR TUMBUH, 29 Julai

Menziarahi orang sakit adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam. Namun begitu, dewasa ini ianya di abaikan, lebih-lebih lagi di kalangan generasi baru serta masyarakat bandar. Kalau pun ada, hanya melibatkan keluarga terdekat sahaja.

Menyedari hakikat ini perlu disuburkan kembali, maka seramai 10 orang AJK Dewan Pemuda PAS Kbg Kerian pada hari ini telah melakukan ziarah berkelompok dengan mengunjungi ayah kepada AJK pemuda kawasan, Sdr. Nik Azhan di Kg. Guntung, Pasir Tumbuh.

Ayah beliau, Nik Mohamad telah diserang penyakit strok sejak 1 bulan yang lalu. Kunjungan tersebut telah diketuai oleh Ketua Pemuda, Sdr Mohd Nuri Mat Yaacob. Sedikit sumbangan kewangan telah di hulurkan bagi meringankan bebanan keluarganya.

Wallaua'lam.

Monday, July 28, 2008

LAPORAN POLIS TERHADAP DATUK SERI MOHD TAJOL ROSLI

KOTA BHARU,
29 Julai 2008 (Selasa)

Dewan Pemuda PAS Kbg Kerian hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak yang juga merupakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkaitan dengan kenyataannya yang berunsur rasuah politik.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 3 petang tadi. Ketuanya, Mohamad Nuri Yaacob, 37 berkata, tawaran bekas Menteri Besar Perak itu boleh disifatkan sebagai satu bentuk rasuah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997.

"Dalam laporan akhbar hari ini Tajol dengan jelas menyebut Umno Perak mengajak PAS bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh di mana wakil PAS kekal menjadi Menteri Besar. Manakala jawatan Exco diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan''.

"Berdasarkan kepada kenyataan itu jelas menunjukkan terdapatnya unsur 'tawaran jawatan' yang boleh disifatkan sebagai satu rasuah yang menyalahi Akta Pencegahan Rasuah 1997," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu beliau meminta pihak polis menyiasat terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut dan akhbar yang menyiarkan laporan berkenaan.

Mohamad Nuri juga menyifatkan kenyataan itu seumpama orang yang sudah tersepit dan mengharapkan pertolongan orang lain. Katanya, tindakan itu juga turut membuktikan Umno Perak masih berhasrat untuk berkuasa walaupun sudah ditolak rakyat.

Hadir sama memberi sokongan kepada laporan polis itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Baharuddin Mohd Nor dan anggota jawatankuasanya.

Dalam kenyataannya semalam, UMNO Perak mengajak PAS bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh dengan wakil Pas akan terus kekal sebagai Menteri Besar.



KENYATAAN RASMI DP2K3

PAS & UMNO bergabung?

Salam perjuangan.

Ianya telah menjelaskan segala-galanya. Memberikan sedikit kelegaan atas keresahan yang melanda ahli parti dan juga rakyat Malaysia amnya. Pendirian, penegasan dan sikap PAS yang sebenarnya telah didedahkan, berhubung soal gabungan dengan UMNO yang diwar-warkan oleh media HAPRAK tanahair. Kenyataan akhbar telah di bacakan oleh YB Ust Nasarudin Mat Isa selaku Timbalan Presiden di lobi parlimen baru-baru ini membuktikan bahawa PAS tidak pernah lupa kepada sejarah dan InsyaAllah tidak akan dipatuk 2 kali pada lubang yang sama.

Saya dan rakan-rakan AJK DPPK Kubang Kerian ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kenyataan yang penuh bermakna dari presiden. Kami akan berdiri teguh menyokong kepimpinan ulama'. Kami juga berharap kepada semua ahli PAS supaya melipatgandakan lagi usaha kita untuk meyakinkan rakyat tentang kebenaran perjuangan kita. Sekaligus mengajak rakyat untuk terus bersama PAS dan pakatan rakyat bagi menerajui kepimpinan negara seawal September ini ataupun 2012 nanti.

Sekian, terima kasih.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian

ALLAHUAKBAR
!!

BENARKAH UMNO TELAH BERJAYA?

  • Berjaya menaikkan harga barang yang kian mendera rakyat
  • Berjaya menggalakkan jenayah supaya terus subur
  • Berjaya melahirkan pemimpin yang korup
  • Berjaya menjadikan Malaysia lembik dan bacul dalam segenap hal
  • Berjaya melantik PM yang suka bohong, kaki tidur, tak jujur, tak bijak
  • Berjaya membuatkan Khairy lebih berkuasa dari PM
  • Berjaya menekan Kelantan, hanya kerana ianya diperintah pembangkang
  • Berjaya mewujudkan ECER, untuk menyapu tanah rezab Melayu
  • Berjaya meruntuhkan masjid dan surau, dengan alasan ada kaitan dengan pengganas
  • Berjaya melariskan perniagaan , ajaran sesat dan politik
  • Berjaya mencipta akta OSA & ISA, hadiah kepada rakyat yang berkata benar
  • Berjaya membuatkan orang melayu tiada identiti, meniru orang lain dalam segenap segi
  • Berjaya bina menara berkembar Petronas, tapi kontraktor dari Korea Selatan dan Jepun

Saturday, July 26, 2008

CAHAYA HIDAYAH :- MY NAME IS....

"My name is.. Muhammad Leo Toyad…saya rasa ada kedamaian dalam Islam…" Itulah jawapan spontan bekas Menteri Pelancongan ketika ditanya bagaimana beliau tertarik memeluk agama Islam.

Alhamdulillah.. Beliau akhirnya memeluk agama Islam. Walaupun ini cerita lama, namun kita percaya tidak ramai yang tahu lebih lanjut mengenainya. Perihal Datuk Seri Dr Muhammad Leo Toyad Abdullah memeluk Islam bukannya perkara yang hendak diperbesarkan. Namun apa yang menarik, hasratnya yang ingin bersama Islam sejak berada dalam kabinet lagi, tidak pernah diberitahu pada sesiapa pun.



Beliau hanya memendam rasa dan keinginannya. Ianya cukup lama sehinggalah pada tarikh 17 Jun 2006, Dr. Muhammad Leo mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam. Dr. Leo, yang mana sebelum ini beragama Roman Khatolik, mempunyai seorang isteri dan empat orang anak yang sudah menjangkau umur lebih 18 tahun. Namun begitu....."Mereka tidak bersama saya…" jawabnya merujuk kepada isteri dan anak-anaknya yang tidak memeluk agama Islam sepertinya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P:212 Mukah mengakui tertarik dengan Islam kerana ramai dikalangan ahli keluarganya telah memeluk Islam. Dr. Leo dilahirkan di Mukah, Sarawak pada 11 April 1950, mendapat pendidikan awal di SRB St. Patrick Mukah pada tahun 1957 kemudian meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah di SMB St. Patrick Mukah pada tahun 1963, SMK Three Rivers Mukah pada 1968 dan SMK Tanjong Lobang Miri pada 1969. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri pada tahun 1976.

Pada tahun 1977 Dr. Leo telah memulakan tugas sebagai Pegawai Perubatan dan Kesihatan di Jabatan Kesihatan Sarawak dan sekali lagi kembali ke UM kemudiannya berjaya menerima Ijazah Sarjana Kesihatan Awam pada tahun 1981.Bergiat aktif dalam politik setelah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah pada tahun1980. Kini sebagai Ketua PBB Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah, Ketua Bahagian Limbang dan Naib Presiden PBB Pusat.Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Luar Negeri semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menterinya.

Alhamdulillah...ALLAHUAKBAR

Tuesday, July 22, 2008

BRAINSTORMING DPPKKK 2008

PERDANA RESORT, KOTA BHARU
18-19 JUL 2008

Dewan Pemuda PAS Kbg Kerian baru-baru ini telah berjaya menganjurkan brainstorming untuk semua AJK Pemuda Kawasan bertempat di Perdana Resort, PCB, Kota Bharu. Ianya telah melibatkan penyertaan seramai 20 orang AJK yang terdiri dari beberapa lajnah dalam pemuda.

Program berkenaan bermula pada jam 6.00 petang Jumaat dengan perlawanan futsal pantai sesama ajk. Walaupun pertama kali bermain, kebanyakan pemain telah berjaya mempersembahkan skil permainan yang baik dan kemas. :) Selepas solat maghrib berjemaah, tazkirah ringkas pula disampaikan Ust Ilias Ahmad (Pok Su Li). Persoalan mengenai keadaan huru hara di Hari Pembalasan telah dihuraikan dengan panjang lebar dan juga keadaan manusia yang berusaha mencari perlindungan serta syafaat setelah dibangkitkan.

Manakala, majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Cikgu Mustapha Bin Hj Salleh, Setiausaha PAS Kawasan Kubang Kerian. Dalam ucapannya, beliau antara lain mengajak para peserta mengimbas kembali keperitan dan kesusahan para pendokong PAS suatu masa dahulu. Sewajarnya ia menjadi pedoman dan panduan kepada generasi baru. Slot yang pertama diisi dengan Analisa SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman) yang di pimpin oleh Ketua Pemuda, Sdr Mohd Nuri Mat Yaacob.

Selepas solat subuh keesokannya pula, slot tazkirah pula diadakan yang di sampaikan oleh Ust Abd Fattah, KP DUN Pasir Tumbuh. Seterusnya pada jam 9.00 pagi, Slot motivasi pula disampaikan oleh Sdr. Mohd Noor Bin Yazid, Pen. Setiausaha PAS Kawasan Kubang Kerian dengan tajuk ”Menerajui Kebangkitan-Apa Peranan Pemuda?”

Manakala, slot yang terakhir pula ialah bengkel brainstorming yang memerlukan AJK membentangkan Perancangan Strategi & Program Dalam Menhadapi Tahun 2008 serta Pembentukan Kerangka Resolusi & Pelan Tindakan DPPKKK bermula 1 ogos 2008 hingga 31 Julai 2009.

Program berakhir jam 1.00 petang dengan doa wehdah dan salam perpisahan. Wallahua'lam






Wednesday, July 16, 2008

RENUNGAN


Berjuang memang pahit..
kerana syurga itu indah.

Bukan sedikit mahar
yang perlu di bayar..

bukan sedikit pedih yang di tagih..

Ingatlah..
tiada permaidani indah untuk pejuang islam..
tiada gelaran dan anugerah istimewa

Ingatlah..
hanya cabaran dan ujian getir yang menanti..

Ikhlaskan niatmu...
kerana nilai Allah amat tinggi buat hambanya
yang terkorban demi agamanya....


Tuesday, July 15, 2008

DEBAT : ANWAR VS SHABERY

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek mengambil bahagian dalam perdebatan bersejarah mengenai kenaikan harga minyak yang disiarkan secara langsung semalam.

Perdebatan tersebut yang bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak' berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur. Ia bermula jam 9 malam dan berakhir selama sejam. Orang ramai menonton secara langsung perdebatan tersebut di Internet melalu Global Media Channel dan BernamaTV - atau di TV yang disiarkan oleh TV9, Astro Awani dan Bernama TV. Perdebatan tersebut bermula dengan Anwar dan Shabery, masing-masing diberi masa empat minit sebagai pembuka bicara. Ia diikuti dengan soalan dari moderator, Datuk Johan Jaafar yang juga pengerusi DBP. Kemudiannya dua ahli panel yang masing-masing mewakili Shabery dan Anwar bertanya soalan kepada kedua-duanyanya. Mereka ialah Editor Siasah, Zulkifli Sulong dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Nordin Kardi.

Anwar berkata kerajaan boleh menjimatkan sekurang-kurang RM2 bilion sekiranya ia mengurangkan tahap simpanan tenaga negara dari 40 peratus sekarang, kepada 20 peratus dan dimanfaatkan untuk menurun harga minyak bagi mengurangkan beban rakyat. Dengan itu, katanya, kerajaan dapat mengurangkan bayaran yang tinggi kepada syarikat penjana kuasa bebas (IPP) dan mengelak Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada terus menanggung kerugiaan. Di samping itu, katanya, lebih banyak lagi dapat diselamatkan jika dapat dikurangkan kebocoran yang berlaku, termasuk RM700 juta akibat kebocoran dan penyelewengan dalam pembekalan diesel. Menurutnya, kerajaan juga boleh memperuntukan RM1 bilion daripada dividen khas sebanyak RM6 bilion yang dibayar oleh Petronas kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar harga minyak.

Berdasarkan cadangan tersebut, katanya, harga petrol boleh diturunkan sebanyak 50 sen kepada RM2.20 selitar."Saya minta dengan baik dan ikhlas, betulkan ini, kita boleh jimat ini," katanya. Dalam ucapan pembukaannya, Anwar menegaskan melalui pengurusan ekonomi yang baik dan pembasmian rasuah, penjimatan kos membolehkan harga petrol dikurangkan sebanyak 50 sen, bagi meringan beban rakyat akibat kenaikan kenaikan mendakwa harga bahan bakar tersebut. Menurutnya, pengurangan pembayaran kepada IPP serta keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas yang hampir mencecah RM100 juta membolehkan kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk diagihkan kepada rakyat melalui pengurangan harga minyak.

Shabery pula menjawab kerajaan terpaksa membayar subsidi sebanyak RM50 bilion jika ia mengekalkan harga minyak pada kadar RM1.92 selitar dan akan menjejaskan peruntukan untuk pembangunan yang lain. Lagi pula, tambahnya, harga minyak dipengaruhi oleh faktor global. Beliau mengimbau krisis global pada 1973-74 di mana rakyat menyokong tindakan Tun Razak Hussein menubuhkan Petronas, tetapi mendakwa Anwar membantah, sepertimana yang dilakukannya sekarang. Menurut Shabery lagi, jika subsidi ditingkatkan, ia akan menguntung orang berada dan juga rakyat asing. Oleh itu, katanya, mengapa tidak wang disalurkan terus kepada rakyat yang memerlukannya. Menurutnya lagi, Finland dan Norway sebagai contoh, tidak memberi subsidi dan mempunyai prestasi ekonomi yang baik. Anwar bagaimanapun berkata, negara ini tidak boleh dibandingkan dengan Norway yang mempunyai 10 kali ganda pendapatan perkapita daripada Malaysia. Menurutnya, kenaikan mendadak harga minyak telah membebankan golongan miskin dan yang terpinggir dan meningkatkan lagi beban hidup mereka. Tambahnya, Petronas mengaut keuntungan yang besar dan menduduki kumpulan 10 syarikat inyak tertinggi dari segi keuntungannya.

Bagaimanapun, katanya, Petronas adalah hak rakyat dan pengurangan 50 sen harga petrol adalah langkah pertama ke arah itu. Malah, katanya, kenaikan harga minyak tidak disokong oleh rakyat, kecuali ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sahaja. Shabery kemudiannya menarik perhatian hadirin ke negara Venezuela dan Iran, yang mempunyai harga minyak yang murah tetapi kadar inflasi yang tinggi. Tetapi di Malaysia, katanya, kerajaan berjaya menangani krisis makanan, malah menurutnya harga beras di negara ini lebih murah dari Thailand. Jadi katanya tidak perlu mengadakan demonstrasi di jalan.

Anwar pula menegaskan bahawa bagi setiap AS$1 kenaikan harga minyak, menghasilkan RM360 juta kepada negara. Dan kenaikan kadar inflasi yang tinggi akan memburukkan ekonomi negara. Shabery kemudiannya membangkitkan bahawa IPP wujud ketika Anwar dalam kerajaan, dan mendakwa bekas menteri kewangan itu mempertahankan kontrak mereka ketika itu. Malah, katanya, Anwar menggunakan kaedah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk cuba menangani krisis pada 1997-98. Tambahnya, walaupun rakyat dalam kesukaran, tetapi mereka masih cukup untuk makan.

Anwar pula bertanya mengapa kerajaan memungkiri janji pilihanraya untuk tidak menaikkan harga minyak. Sebaliknya, kata beliau, kita harus melihat Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak. Shabery kemudiannya menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara utama pengeluar minyak dan menurutnya hanya 26 peratus keuntungan Petronas datangnya dari sumber tempatan dan syarikat minyak negara itu menggunakan keuntungannya untuk mencari minyak di luar negara. Dan Petronas kini muncul sebagai sebuah syarikat minyak terkemuka.

Anwar mengakui bahawa IPP diwujudkan ketika beliau dalam kerajaan, tetapi meminta Shabery meneliti rekod mengenai. Beliau berkata, Tan Sri Ani Arope (pengerusi TNB ketika itu) membantah terhadap EPU (Unit Perancang Ekonomi) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung IPP. Dan sebab itulah beliau meletakkan jawatan. Menurutnya, IPP mengaut keuntungan berbilion ringgit tetapi yang menanggung kerugian adalah Petronas dan TNB. Katanya, kebocoran dan kronisme boleh ditangani dan menjimatkan sejumlah RM3 bilion. Malah, kata Anwar lagi, tindakan menaikkan secara mendadak harga minyak adalah preskripsi IMF. Oleh itu, katanya, adalah satu fitnah untuk mengatakan bahawa beliau tunduk kepada kehendak IMF sewaktu krisis ekonomi pada 1997-98. Anwar berkata, terdapat dividen khas sebanyak RM6 bilion yang dibayar kepada kerajaan tahun ini, dan mengapa tidak boleh diambil RM1 bilion untuk mengurangkan harga minyak.

Sunday, July 13, 2008

KEJOHANAN FUTSAL PARLIMEN KBG KERIAN

28 March 2008, Pasir Tumbuh

Kejohanan Futsal Parlimen Kbg Kerian telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini di Gelanggang Futsal Real Seven, Pasir Tumbuh. Walaupun ianya pertama kali diadakan, namun penyertaannya amat menggalakkan daripada pasukan yang mewakili DUN masing-masing. Majlis bermula dengan taklimat ringkas pertandingan oleh pihak urusetia dan diikuti amanat oleh Ahli Parlimen Kbg Kerian, YB Salahuddin Ayub.

Seanyak 9 pasukan mengambil bahagian. Ianya terdiri dari 3 pasukan dari setiap DUN. Format pertandingan diadakan secara liga & di peringkat suku-akhir dan separuh-akhir pula diadakan secara kalah mati. Pasukan Binjai telah muncul juara pada kali ini. Kebanyakan pemain mempersembahkan skill permainan yang amat menarik. Pertandingan seperti ini juga memberi peluang kepada golongan muda berkenalan antara satu sama lain tanpa mengenepikan agenda parti.

Adalah diharap lebih banyak pertandingan seperti ini dapat diadakan lagi.

QIAMULLAIL AJK PEMUDA

21 Feb 2008, Masjid Kg Kedai Baru, Kbg Kerian

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kbg Kerian sekali lagi melalui Lajnah Tarbiyyahnya berjaya menganjurkan Program Qiamullail bulanan di Masjid Kg Kedai Baru, Kbg Kerian. Program tersebut telah melibatkan keseluruhan AJK DPP Kawasan dan Pemuda PAS Cawangan-cawangan.

Program berkenaan bermula pada jam 4.00 pagi dengan bacaan Al Quran berkumpulan. Seterusnya disusuli dengan solat tahajjud, solat hajat & witir secara berjemaah yang telah di pimpin oleh Ustaz Zulkifli Hussin, Pengerusi Lajnah Tarbiyyah DPP Kawasan yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda DPPKK.

Selepas solat subuh, beliau turut menyampaikan kuliah subuh kepada semua peserta.


Di dalam kuliahnya, beliau meminta ahli-ahli PAS terutamanya pemuda, supaya merapatkan hubungan dengan Allah disamping itu turut merapatkan hubungan dengan manusia. Ahli-ahli PAS juga diminta untuk terus memperjuangan Islam, kerana itu adalah asas kepada perjuangan PAS.

PAS, Menurutnya, bukan sahaja sebuah parti politik tetapi juga merupakan sebuah badan dakwah. Ahli-ahli juga diminta supaya tidak leka dengan amanah yang Allah telah beri dalam Pilihanraya Umum yang lepas.

Wallahua’lam

Tuesday, July 8, 2008

PELANCARAN JENTERA PILIHANRAYA


Dewan Madinatul Ilmi
Jumaat, 1 Februari 2008

Menyedari pilihanraya kian hampir, Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian hari ini mula menggerakkan jentera pilihan raya bagi mengelak ahli-ahlinya mengamalkan budaya bekerja di saat akhir. Ketua Pemudanya, Mohd Nuri Mat Yaacob berkata, mulai dari saat & detik ini jentera pemuda perlu bersiap sedia dari segenap segi bagi mengekalkan kerajaan Islam ini.

Beliau berkata, disamping itu juga, jentera di setiap peringkat perlu memainkan peranan yang penting kerana selain mengenalpasti senarai pengundi, mereka juga mesti peka dengan isu-isu tempatan yang perlu diselesaikan segera sama ada di peringkat cawangan atau bahagian.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah, ADUN Demit, Ust Mohd Daud Al Iraqi, ADUN Pasir Tumbuh, Ust Baihaki Hj Atiqullah dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Sdr Mohd Ridza Hj Zain. Pelancaran jentera pilihan raya itu dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang pemuda dari ketiga-tiga DUN. Sementara itu, Sdr Ridza dalam ucapan perasmiannya menyeru kepada semua pejuang agama Allah agar berganding bahu serta mengagih-agihkan kerja dengan sebaiknya untuk memenangi hati pengundi.

Simbolik kepada pelancaran Gerakkerja Jentera Pilihanraya itu juga, diagihkan kain lilit kepala dan gelang getah BERSIH kepada setiap Ketua Pemuda DUN. Program seterusnya diteruskan dengan bacaan ikrar taat setia & semangat juang yang dipimpin oleh Ust Abd Fatah, Ketua Pemuda Pasir Tumbuh. Jelas sekali perlaksanaan program ini telah berjaya menepati sasaran dan menampakkan semangat juang yang jitu dikalangan anak-anak muda dalam Parlimen Kubang Kerian.

Takbirr..