Saturday, October 24, 2009

PEMIKIRAN YANG KUNO DALAM BAJET 2010


Naskhah belanjawan yang ‘disembunyikan’ sehingga bacaan kali pertama jam 4 petang, Jumaat, 23 Oktober 2009 dilihat sebagai bajet paling tempang sejak krisis ekonomi 1997-98; lebih sedekad lalu. Di beberapa negara maju, teks bajet akan terlebih dahulu dipamer—lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan internet—kepada umum untuk dibincang terlebih dahulu. Ia tidak berlaku di Malaysia. Tidak pernah!

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak masih meneruskan amalan kuno meskipun berapi-api sejak menjadi PM, konon, mahu melakukan ‘pembaharuan’.

Tatkala diperakui—meski tidak secara langsung menyentuh penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)—sesungguhnya ekonomi Malaysia jelas tidak pernah mampu bangun untuk kembali bersaing di peringkat serantau, apatah lagi global.

Tentulah saya ingat, bagaimana di dalam pembentangan bajet pada Oktober tahun lalu, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan tahun ini yang pada awalnya dikatakan lebih 5%. Kemudian dikurangkan menjadi sekitar 3%.

Dua angka yang diberikan itu adalah tatkala Indonesia yang kini lebih deras pertumbuhannya menyebutkan unjuran hanya sekitar 3%. Singapura pula lebih realistik perkiraannya mengunjurkan angka -1%. Bayangkan bagi sebuah negara yang dikenali begitu cermat mengatur pertumbuhan pun hanya berani menyebutkan di bawah paras 1%. Tetapi pemerintah Malaysia, kala itu, terus khayal dan angkuh.

Tidak mahu mengakui kelemahan sendiri. Dalam kata mudah, langsung tidak mahu bermuhasabah, merenung kepincangan di dalam sistem pemerintahan dan ekonomi domestik. Hanya gelabah menukar-nukar angka pertumbuhan daripada 5 menjadi 3, dan 3 menjadi di bawah 1%.

Seperti biasa, elemen luar akan dituding sebagai penyebab kelembapan ekonomi. Namun, apakah menetapkan sasaran yang tidak berasas iaitu sehingga lebih 5% dan kemudiannya 3% tatkala pertumbuhan dalam negara lemah, juga adalah salah pihak luar? Hanya di dalam Pakej Ransangan kedua, barulah disebutkan secara ‘bisik-bisik’ bahawa pertumbuhan tahun ini dijangka hanya sekitar -1%, iaitu, sama dengan apa yang diunjurkan oleh Singapura.

Keangkuhan dan sikap sering menyalahkan faktor luar termasuk ketidaktentuan harga minyak mentah di pasaran dunia tidak dapat menyembunyikan kelemahan sendiri. Angka pertumbuhan terkini bagi tahun hadapan pula diunjurkan -3% peratus. Merosot lagi -2% berbanding tahun ini—sementara kita lihat, Indonesia yang dahulunya begitu payah untuk memacu ekonomi, mengunjurkan pertumbuhan lebih mapan iaitu mencecah lebih 5%, atau 7-8% lebih tinggi berbanding Malaysia.

Secara mikro ekonomi, Najib hilang fokus. Beliau tidak pasti kepada aspek atau bidang mana yang perlu diberi keutamaan selain menaburkan jumlah perbelanjaaan secara rawak. Krisis makanan global yang memuncak pada pertengahan tahun lalu tidak dijadikan asas untuk kembali memperkukuh sektor pertanian secara lebih radikal dan segera bagi memastikan pengeluaran produk tani dan makanan mencukupi.

Peruntukan yang dianggap besar sehingga RM6 bilion itu tidak lebih hanya untuk penyediaan infrastruktur pertanian di samping tidak ada jaminan ianya dapat memberi kesan langsung kepada petani dan lapangan pertanian. Agak membimbangkan apabila “romantisme” Najib kepada pencapaian Allahyarham Tun Razak Hussein bagi memusatkan dan mendominasi sektor pengeluaran makanan hanya di bawah Felda. Konsortium usahasama tiga agensi kerajaan itu menerima suntikan khusus sejumlah RM300 juta bagi menjayakan idea “gedung makanan negara”.

Kerajaan Najib akan menjadi kerajaan yang semakin memberat. Birokrasi bakal menjadi lebih ketat dan tentunya mempersulit pertumbuhan pasaran liberal. Mudahnya, birokrasi adalah “raja pasaran”, dan bukannya pasaran itu sendiri dapat menentukan dinamikanya sendiri.

Pada tingkat ini, Najib nampaknya bukan sahaja tidak mengerti bahawa aliran pertumbuhan dunia kini semakin bergerak ke arah dasar “ekonomi bebas” dan bukan lagi ekonomi dengan “kawalan’ atau “cengkaman negara” sepertimana kebanyakan negara blok komunis dan sosialis di era Perang Dingin.

Peliknya “pusingan ke belakang ini” dibuat ketika kerajaan sedar bagaimana peranan sektor swasta menguncup, terutama sejak sedekad lalu. Apa yang mahu dijayakan kerajaan, termasuk projek mega di bawah sekian banyak koridor pembangunan tampak sulit untuk dijayakan—projek yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah Badawi.

Pemberian insentif atau potongan cukai pendapatan sehingga 11% kepada para pekerja mahir yang bekerja di Wilayah Pembangunan Iskandar, misalnya tidak lain menunjukkan kerajaan begitu terdesak melihat kelembapan kemajuan projek berkenaan; sedangkan cukai individu kepada warganegara lain masih berada di paras 26%. Pengurangan 1% daripada tahun lalu.

Insentif atau pengurangan cukai peribadi yang dianggap sebegitu tinggi tidak bermakna kerajaan mampu menampung kos pembangunan mahupun hutang yang terus meningkat. Penerbitan perbagai bon atau skim simpanan baru tidak lain adalah petanda bahawa cairan wang rakyat yang berada di dalam pasaran mahu diceduk semula masuk ke dalam perigi kewangan kerajaan.

Sebuah skim seumpama KWSP yang diwujudkan, dinamakan Skim Persaraan bagi Golongan Bekerja Sendiri kepada orang ramai adalah petanda bahawa kerajaan kekurangan simpanan tunai. Bagi nelayan (contoh yang dibawakan oleh Najib sendiri) yang mencarum RM100 sebulan, pada umur 35 tahun akan hanya memperolehi semula wang mereka selepas melepasi usia pesaraan, iaitu 55 tahun. Jumlah wang yang bakal mereka perolehi selepas mencarum selama 20 tahun hanya RM40 ribu, dengan tambahan caruman kerajaan pada kadar 5%. Tidak ada sebarang jaminan bahawa wang mereka kelak tidak digunakan untuk menampung atau ‘menampal’ apa-apa projek kerajaan yang terancam sepertimana kerajaan pernah merangkus wang KWSP.

Apa yang harus diperhitungkan ialah, tentunya kerajaan menetapkan sejumlah wang tunai yang besar di mana rakyat yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pekebun dan peniaga kecil, tunai golongan ini dapat dikutip tiap-tiap bulan. Atau, dalam kata mudah, institusi yang menjaga kepentingan kewangan pekerja kerajaan dan swasta seperti KWSP bolehlah dikatakan sudah kekeringan tunai untuk membiayai projek mahupun program ekonomi kerajaan.

Pengurusan ekonomi Najib yang boleh ditafsir sebagai “anti-pasaran” semakin jelas apabila beliau mensyaratkan satu lagi kadar bunga yang tinggi kepada pengguna kad kredit yang kini mencecah 11 juta pelanggan. Satu hakikat yang sewajarnya dipertimbangkan oleh kerajaan ialah rakyat atau pengguna akan tetap berbelanja, dan menghalang daripada rakyat berbelanja adalah suatu kebijakan yang tidak bijak, walaupun alasannya konon untuk “rakyat berbelanja dengan bijak”.

Seruan agar rakyat “berbelanja dengan bijak” seperti yang dibebelkan Najib sangat diragui bahawa sebenarnya kerajaanlah yang berkehendak agar wang perbelanjaan berkenaan mengalir ke dalam akuan kerajaan; lari daripada pasaran.

Dalam kata lain, kerajaan akan berselindung di sebalik pembinaan infrastruktur sebagai lambang pembangunan—sedangkan sekian lama, di sanalah yang dibimbangi akan hanya menjadi lubuk berlakunya ketirisan sepertimana Laporan Audit Negara seminggu sebelum ini.

Apakah kita masih terpukau dengan beberapa pembangunan infrastruktur seperti yang diperuntukan di Wilayah Pembangunan Iskandar sehingga RM3.5 bilion (bersamaan lebih separuh daripada bajet untuk sektor pertanian!); atau RM1.3 bilion untuk menaik taraf politeknik; RM1.8 bilion untuk pembinaan sekolah baru; RM9 bilion untuk jalan dan jambatan sehinggalah pembinaan 14 mahkamah baru khas untuk kes rasuah; akan menjadikan tidak berlakunya rasuah dan ketirisan?

Seperti yang saya ungkapan di awal analisa ini, beliau nampaknya sengaja mahu meneruskan sistem dan amalan lapuk ekonomi-politik rejim Umno-BN dengan pemerintah mahu mengawal lapangan ekonomi lebih daripada kemampuannya. Hanya dengan cara sebegini, maka parti pemerintah, misalnya Umno dapat terus membiayai kerja-kerja politik untuk mengekalkan kuasa mereka. Kepentingan negara dan rakyat tidak diletakkan lebih tinggi daripada kepentingan parti politik.

Mengapakah tidak dipertanyakan persoalan akan kemelut tabung bantuan untuk peniaga kecil dan sederhana seperti TEKUN, gagal? Masakan tidak gagal, walaupun disediakan peruntukan sehingga RM200 juta tahun hadapan, tetapi yang berlaku di bawah pemohon pinjaman wajib mengisi borang Umno! Begitu juga dengan skim pinjaman atau bantuan kerajaan lainnya yang tidak akan pernah bisa profesional dan terlepas daripada percaturan politik ganas parti pemerintah.

Hambatan pertumbuhan ekonomi sebegini, yang kadang kala sangat kebudak-budakan terus berlangsung di dalam retorika bajet petang Jumaat, yang dalam masa yang sama terus mengumandangkan mantra “asas ekonomi negara terus kukuh”.

Ya, ‘kukuh’! Kukuh tatkala nelayan terpaksa ‘melabur’ RM100 sebulan untuk mendapat RM40 ribu selepas 20 tahun, sementara orang luar dilayan laksana anak emas dengan potongan cukai sehingga 11% berbanding rakyat biasa! Mengukur daripada semua siri pilihanraya kecil, termasuk yang terbaru di Bagan Pinang, dapat dirasakan bahawa parti pemerintah membelanjakan wang yang bukan kepalang. Lantas, sangkaan bahawa Umno-BN memang semakin ketandusan sumber ringgit ada asasnya, lebih-lebih lagi selepas mereka kehilangan sumber daripada dua negeri penting iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

Maka, tidak hairanlah bagaimana Najib secara terang-terangan menyebutkan bahawa kerajaan akan memaksimakan pengunaan harta-benda mahupun tanah milik kerajaan Persekutuan sebagai ‘sumber baru’ pendapatan kerajaan. Saya ada satu contoh bagaimana yang dimaksudkan bahawa harta atau tanah kerajaan persekutuan yang boleh mendatangkan hasil kepada segelintir orang, walaupun ia sewajarnya milik rakyat terbanyak.

Misalnya dalam sesi parlimen awal tahun ini, Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas bertanyakan kebenaran tentang Kem Transit Tentera Jalan Ampang yang dikatakan akan dipindahkan ke kawasan baru. Beliau meyakini bahawa tapak kem itu akan—bahkan sudah—diserahkan kepada sebuah syarikat untuk dijadikan kawasan komersial, iaitu pembinaan premis kondominium mewah dan komersial.

Persoalan yang timbul adalah perjanjian di antara kerajaan dan pihak swasta itu tidak dibentangkan di dalam Parlimen. Rundingan dan perjanjian yang sudah beberapa kali mencapai persetujuan itu dikatakan tidak akan menguntungkan kepada kerajaan kerana ia berat sebelah. Ia terjadi, sekali lagi, kerana dipercayai ada kepentingan pihak tertentu di peringkat tertinggi di dalam projek berkenaan.

Akibat kegagalan dan gagalnya untuk muhasabah oleh pemerintah, maka antara jalan mudah untuk meraih sokongan tidak lain adalah dengan menabur “gula-gula politik” di sana sikit, di sini sikit.

Pembiayaan mahupun pinjaman sejumlah RM200 juta kepada kegiatan seni tidak akan merubah atau menganjak mentaliti rakyat ke tingkat lebih tinggi. Kita tidak lupa bagaimana perunjukan lebih besar pernah diberikan sebelum ini di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohammad yang akhirnya hanya terbengkalai di tengah jalan. Apatah lagi andai gula-gula itu hanya bernilai RM50 kepada mahasiswa untuk memiliki komputer dan pengunaan internet broadband.

Bajet ini “bajet mengundur ke belakang”—yang boleh mengheret Malaysia terpelosok ke bawah paras ekonomi lebih parah apabila terus gagal bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa. Bajet Najib ternyata bukan sesuatu yang boleh diharap untuk berlangsungnya sebuah pembaharuan dan reformasi. Perubahan hanya retorika politik. Hanya untuk meraih undi. Memang benarlah kata pujangga, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!

Bajet ini tidak lebih hanya dalih baru daripada kerajaan yang meniti hujung usia kuasanya.

Artikel ini diubahsuai dari blog seorang 'sahabat'


SEJADAH BERDIRI? HAHAHA...



Diubahsuai dari artikel asal - laman blog Ust. Zaharuddin Abd Rahman

Aneh sungguh mentaliti orang melayu. Kalau dulu, telaga hikmat, cincin ajaib, sekarang ni sejadah berdiri pula. Malaysia sekarang ini dilanda wabak baru, selepas H1N1. Wabak dimaksudkan adalah peristiwa pelik sejadah ‘berdiri' di surau-surau. Maka gegak gempitalah seluruh alam buana. Tersiarlah juga gambar sejadah berdiri di pelbagai akhbar dan media. Tv3 khasnya. Hahaha.

Macam-macam pendapat kedengaran :-

1. Mungkin ini teguran Allah kepada hambanya" kata seorang ustaz.
2. Ini tandanya orang di sekitar surau tak solat, sampai sejadah terpaksa mendemonstrasikan apa yang patut dibuat" kata seorang pengulas yang lain.
3. Hebatnya islam, hingga ada sejadah berdiri" ada tak agaknya orang bukan Islam yang kagum dengan peristiwa ini sehingga boleh terpacul kata sebegini?

Memang benar, surau yang biasanya gersang dari pengunjung tiba-tiba menjadi penuh. Bertambah ramai kerana sejadah ‘berdiri'.

SAYA DITANYA

Biasanya saya tidak begitu meminati berita seperti ini, bukan ingkar atau menafikan, cuma Al-Quran itu sudah lebih dari ajaib untuk kita sebenarnya.

"Namun tidak mengapalah, ada sesetengah orang mungkin memerlukan yang lebih dari Al-Quran untuk beriman agaknya, seperti sejadah ‘berdiri', hmm pelik. Biarlah jika mereka ingin kagumi, asal akhirnya boleh kembali kepada Al-Quran." Tegas hati dalam saya bila terbaca satu tajuk berita di internet, tanpa saya minat untuk menekan dan membaca lanjut.

Namun satu hari, apabila saya ditanya berkenaannya dan diberikan link berita yang ditulis mengenainya. Tergerak pula hati untuk klik dan melihat gambarnya.

Subhanallah !

Saya tidak dapat menahan untuk senyum sejurus saya klik dan melihat gambar yang terpapar. Hati menjadi kurang selesa, minda laju berfikir. Saya memikir apakah yang telah jadi dalam pemikiran orang di zaman moden ini. Saya berfikir, adakah itu jenis ‘berdiri' yang dianggap hebat dan luar biasa?

Terus terang saya menjadi sedikit malu dengan gambar-gambar yang dipaparkan.

Mungkin anda tidak bersetuju dengan saya, anda bebas, namun saya tidak dapat memaksa hati dan minda saya untuk menerimanya sebagai keajaiban. Saya merasakan, agak ramai yang mentertawakan gelagat orang-orang surau yang mendakwa sejadah mereka ‘berdiri'.

PERTIKAIAN DAN MENJADI LAWAK

Saya mula terdengar lawakan orang. Pertikaian orang yang akhirnya akan memburukkan nama Islam dan penganutnya jua.

"entah budak nakal mana yang mendirikannya di waktu tiada mata yang melihat kecuali Allah, didakwanya luar biasa" kata sebahagiannnya. "Mungkin juga ada orang kampung yang berstrategi mempopularkan surau, kampung atau tempat mereka" seorang lagi memberi komen.

Sebelum ini saya membayangkan sejadah itu ‘berdiri' dengan tegak dan amat luar biasa. Namun rupanya, ‘berdirinya' ia hanya seperti piramid sahaja. Jika itulah bentuk ‘berdiri' yang dikagumi, sejadah di rumah saya pun boleh ‘berdiri'.

Saya tidak menafikan bahawa memang tersangat boleh, kuasa Allah untuk mendirikan semua sejadah-sejadah itu. Tapi tidak semua perkara yang luar biasa wajar dikongsi kepada umum, kerana sebahagiannya akan menjadi bahan gelak ketawa dan back fire kepada Islam dan penganutnya sendiri.

Sebenarnya lebih elok, jika benar-benar ia ‘berdiri' sekalipun, cukuplah bagi orang yang nampak untuk memuhasabah diri. Bagi saya, sesiapa yang dapat melihat sesuatu keajaiban, dialah target utama untuk insaf, sedar atau bertambah taqwa. Kemudian, diamkan sahaja atau kongsikan bersama mereka yang amanah dan dipercayai sahaja.

Kaedah ini mengambil manfaat dari ajaran Islam iaitu bagi mereka yang mendapat mimpi baik atau buruk. Mimpi baik perlu dirahsiakan untuk diri dan hanya wajar dikongsi kepada orang yang hampir, amanah dan dipercayai sahaja. Jika tidak mimpi yang baik itu akan sengaja diputar belit sehingga membawa kesan negatif kepada empunya mimpi, akibat hasad dengki manusia di zaman ini. Manakala mimpi buruk jangan sesekali dikongsi dengan sesiapa pun, buangkan ia dari minda sama sekali, selepas beristi'azah dan meniup ke kiri sebanyak tiga kali serta menukar posisi baringan. Itulah yang diajar oleh baginda Nabi s.a.w.

Kepelikan di zaman ini bukanlah mu'jizat yang perlu dikongsikan kepada awam. Mu'jizat hanya berlaku di zaman Nabi s.a.w, Karamah hanya berlaku kepada individu yang soleh tanpa kehendak dan kawalannya. Keajaiban lain boleh dilihat pada alam semesta, itulah keajaiban, tubuh kita adalah keajaiban, maka jika masih perlukan keajaiban tambahan untuk dikongsi dan diwarwarkan. Dalami hal tersebut, maka manusia yang beriman dengan logik juga akan terkejut dan mengkaguminya.

Justeru, jika benar-benar ingin menayangkan kepada umum juga, pilihlah sesuatu keajaiban yang benar-benar sukar disangkal logik aqal, minda para pembenci Islam dan orang kebanyakan. Jangan sampai ‘keajaiban' yang disangka hanya sesuai menjadi bahan tertawa sehingga Islam dan penganutnya diperlekeh. Seperti keajaiban sejadah ‘berdiri'.

Kita semua bertanggungjawab menjaga nama baik Islam dan penganutnya. Jangan pula tersangat sensitif dan tinggi benar imiginasinya sehingga mendakwa sejadah itu sedang solat. Banyak lagi perkara lain yang perlukan sensitiviti umat Islam, namun asyik tidak diendahkan.

Saya menjadi lebih bimbang apabila umat Islam terlalu mudah mengagumi perkara pelik, kelak nanti mudah diperdaya oleh ajaran-ajaran sesat dan kepercayaan tahyul serta khurafat, lantaran kenipisan iman dan ilmu.

Thursday, October 22, 2009

HARAPAN BAJET 2010


KUALA LUMPUR: Bajet sulung Datuk Seri Najib Razak yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, dijangka menggariskan beberapa strategi baru bagi meningkatkan kecekapan ekonomi negara dan meneruskan agenda memelihara

kesejahteraan rakyat semua kaum selaras konsep 1Malaysia. Bajet 2010 itu dikatakan akan terus memberi keutamaan terhadap usaha memperkasa agenda sosial, termasuk program perumahan, membasmi kemiskinan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan kemudahan awam di luar bandar, pembangunan wanita, pengurangan kadar jenayah dan rasuah serta peningkatan kecekapan pengangkutan awam.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) yang diperincikan Perdana Menteri pada 27 Julai lalu.

Walaupun bajet kali ini dijangka membabitkan pengurangan peruntukan perbelanjaan awam, ia akan diimbangi langkah strategik bagi memastikan momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara dapat diperkukuhkan.

Sehubungan itu, Bajet 2010 dijangka lebih bertumpu kepada usaha meningkatkan kecekapan menerusi kebijaksanaan mengurangkan kos operasi sektor awam dan pengurusan perbelanjaan pembangunan yang lebih berhemat.

Sumber memberitahu Berita Harian, Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka mengumumkan terbitan bon Islam dalam kategori Sukuk Simpanan Rakyat bagi membuka peluang kepada rakyat berbilang kaum menabung dan meraih pulangan yang berdaya saing.

Bon yang diterbitkan Kementerian Kewangan itu, dikatakan mampu menawarkan kadar pulangan yang kompetitif dengan purata yang lebih tinggi berbanding yang diraih menerusi simpanan tetap ketika ini.

Dari segi pembangunan, Bajet 2010 dijangka terus bersifat mengembang bagi meneruskan kesinambungan program pembangunan yang dirancang mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjumlah RM230 bilion yang akan berakhir tahun depan.

Sebagai bajet yang menjadi asas pembentukan model ekonomi baru dan pembentukan kerangka Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), Perdana Menteri dijangka mengumumkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menerusi usaha memperkukuh sumbangan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan.

Seorang ahli ekonomi di sebuah firma penyelidikan, berkata sebahagian masyarakat global kini ingin melihat kebijaksanaan kerajaan dalam mengurangkan defisit setelah melaksanakan pelbagai suntikan fiskal untuk pembangunan.

Katanya, pelaksanaan pakej dua suntikan kecemasan berjumlah RM67 bilion untuk meminimumkan kesan kegawatan global kepada rakyat negara ini, telah melonjakkan kadar defisit kepada 7.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Langkah itu ternyata menampakkan kejayaan, kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan negara ini tidak terjejas teruk ekoran kegawatan seperti yang dialami beberapa negara lain.

"Kini, komuniti global ingin melihat keupayaan Malaysia mengurangkan semula lebihan perbelanjaan. Sebahagian besar pelabur kini menjangka kadar defisit pada tahun depan adalah sekitar 7.0-7.5 peratus.

"Jika mampu diturunkan lebih rendah daripada itu, maka ia menggambarkan komitmen kerajaan yang mengambil serius perkara itu di sebalik jangkaan penguncupan hasil cukai lebih tujuh peratus," katanya.

Katanya, kadar defisit yang tinggi akan menggugat penarafan kewangan negara di peringkat antarabangsa, sekali gus menjejas nilai mata wang, perdagangan dan taraf pendapatan rakyat hingga boleh mengekang usaha transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Seorang ahli ekonomi lain pula menjangka cukai korporat secara keseluruhannya tidak turunkan, sebaliknya kerajaan akan memberi insentif pengecualian cukai khusus kepada industri dan pelaburan berimpak tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, cukai pendapatan juga dijangka tidak dikurangkan, tetapi mungkin terdapat insentif cukai bagi golongan berpendapatan sederhana yang memiliki anak ramai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan menaikkan cukai rokok dan perjudian dalam usaha menggalakkan amalan hidup sihat.

Mengenai unjuran ekonomi, beliau, berkata, kerajaan mungkin menyemak semula jangkaan kadar pertumbuhan KDNK tahun ini susulan prestasi pemulihan ekonomi negara yang di luar jangkaan pada separuh kedua tahun ini.

"Unjuran rasmi awal adalah antara -4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2009. Bagaimanapun, kerajaan mungkin menyemak semula kepada penguncupan yang lebih rendah. Pada tahun depan, kami menjangka ekonomi berupaya untuk kembali mencatat pertumbuhan positif iaitu lebih 1.5 peratus," katanya.

p/s :- Selamat membentang duhai Najib. Sumber : Berita Harian

Tuesday, October 20, 2009

ANALISIS PRK BAGAN PINANG :-


Dari kacamata seorang 'pemuda'

Salam Perjuangan.. Kata orang, ada rahmatnya dalam kekalahan :)

Sebelum meneruskan ulasan, adalah lebih baik kita pakat-pakat muhasabah diri. Kalah di Bagan Pinang bukan bermakna Pakatan Rakyat kalah dalam semua aspek. Kita cuma kalah satu DUN yang sebelumnya milik mereka. Sebenarnya, kita telah menang :- menang sejak hari penamaan calon, atau lebih tepat sejak UMNO menamakan Isa Samad sebagai calon. Itulah kemenangan Pakatan Rakyat, kerana mereka sanggup menggadaikan maruah demi meragut kemenangan tanpa memikir palitan rasuah yang melingkari calon.

Berikut adalah analisis peribadi penulis tentang faktor kemenangan BN:-

UNDI TENTERA
Bayangkan, daripada 4,000 undi tentera, PAS hanya menerima 600 undi sahaja dan selebihnya milik BN. Kenapa? Golongan tentera terhutang budi pada Najib?

UGUTAN KEPADA KAUM INDIA
Pengalaman di Manik Urai sangat berguna buat mereka. Ia pasti lebih terkesan di atas kesempitan hidup kaum india di estet-estet terutamanya kehadiran perayaan Deepavali hujung minggu ini. Ini adalah satu faktor penting dalam persoalan “Mengapa kerajaan suka melihat rakyat bergelumang dalam kesempitan hidup?”. Jawapanya ialah, apabila tiba saat yang diperlu seperti PRK / PRU, maka di sinilah peluang untuk membeli undi dari mereka-mereka yang terdesak.

CALON POPULAR
Memang Isa Samad adalah kaki rasuah. Tapi itu perkara ke-dua. Perkara pokok ialah Isa Samad adalah rakan mereka. Isa Samad seorang yang amat disenangi dan sentiasa berdamping di kalangan pengundi di Bagan Pinang. Walau Isa Samad hampir menghancurkan Negeri Sembilan sekalipun, walau Isa Samad bergelumang dalam politik wang, namun faktor ‘orang kita’ telah membutakan mata.

‘BY HOOK OR BY CROOK’
Barisan Nasional begitu terdesak untuk mengecap kemenangan. Segala taktik, strategi dan propaganda samada secara bersih mahupun kotor akan digunakan. Tidak dapat dibayangkan betapa hancurnya BN dan UMNO sekiranya kalah dalam PRK Bagan Pinang disusuli kecelaruan yang berlaku dalam beberapa parti komponen utama BN. Atas sebab ini jugalah, UMNO sanggup mencalonkan Isa Samad walaupun ia akan menjejaskan integriti UMNO dan BN dalam perspektif nasional.

Wallahua’lam e_where2006@yahoo.com



Monday, September 28, 2009

SELAMAT BERJUANG >>

KBG KERIAN, 28 Sept

Seramai 4 orang AJK Dewan Pemuda PAS Kbg Kerian telah di hantar ke Bagan Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil N.31 Bagan Pinang 11 Oktober ini. Mereka akan berada di sana selama 5 hari, bermula 28 Sept - 2 Okt 2009.

Ketua Pemuda PAS Kbg Kerian, Ust Zulkifli Hussin berkata, pilihan raya kecil ini amat penting untuk melebarkan penguasaan Pakatan Rakyat di negeri selatan tanahair.

Beliau juga berkata, Umno dijangka akan bermatian-matian mempertahankan kemenangan di Bagan Pinang.

"Kita menjangka lebih ramai lagi petugas sukarela dari kalangan pemuda DUN mahupun cawangan yang pergi dengan dana sendiri bagi memastikan kemenangan PAS di sana" ujar beliau lagi.

AJK Pemuda PAS Kbg Kerian telah di tugaskan membantu Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan mengawalselia UPU Bagan Pinang.

Selamat berjuang di ucapkan.

Saturday, September 26, 2009

Perutusan Eidulfitri 1430 DPPNK

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar.
Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar.
Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar.

Segala puji bagi bagi Allah SWT, selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta sleuruh ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Saya bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, kepada rakyat negeri Kelantan terutama para pendokong wadah perjuangan Islam yang suci dan lebih khusus lagi kepada para pemuda Islam yang telah beristiqamah dengan perjuangan Islam serta tidak ketinggalan kepada seluruh muslimin-muslimat di negara Malaysia ini.

Dengan berakhirnya Ramadhan, Syawal pula tiba di ambang kehidupan dengan membawa nafas Aidil Fitri sebagai hari kebesaran kurniaan Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa selama sebulan. Islam menganjurkan kita memuji nama Allah apabila menjelangnya Syawal, memanjatkan rasa syukur kerana berjaya melalui ujian besar menghadapi Ramadhan serta berharap agar segala amalan kita sepanjang Ramadhan yang berlalu diterima oleh Allah SWT.

Sesungguhnya puasa yang telah kita lalui tidak bertujuan melainkan membentuk kita menjadi insan yang bertaqwa. Di tengah-tengah kemelut berdepan dengan segala macam ujian daripada Allah SWT berbentuk wabak penyakit, masalah sosial, kejahilan dan kepincangan sistem masyarakat yang berpunca daripada hilangnya rasa taqwa, maka ibadat puasa diharapkan dapat mengembalikan semula kekuatan yang telah hilang daripada umat Islam.

Bagi pihak DPPNK, saya mengharapkan agar kita masing-masing meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan berlaku adil dan menyempurnakan amanah yang dipikulkan Allah SWT ke atas bahu kita dengan sebaik-baiknya. Semoga perjuangan Islam yang kelihatannya semakin diterima oleh masyarakat Malaysia terus berdiri tegak memacu perubahan ke arah yang lebih positif untuk masa depan ummah di negara ini, Insya-Allah.

Sekali lagi, DPPNK mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, selamat pulang ke kampung halaman kepada anak-anak perantauan. Semoga Allah memberkati kita semua, Insya-Allah.

Allahuakbar allahuakbar allahuakbar.

YB HAJI ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) 2009/2011

Bertarikh : 1 Syawal 1430H / 20 September 2009

Tuesday, April 7, 2009

ALHAMDULILLAH..

Suara rakyat, suara keramat

Semalam.. TV9 tengah 'galak' menyiarkan rancangan Hujah. Ingatkan nak ulas isu PRK di 2 Bukit dan 1 Batang... sebaliknya, isu PM baru dan peluang ekonomi... Sungguh memualkan.

Bodek dan bodek lagi.



Walau apa pun, syukur alhamdulillah.. kemenangan telah berpihak kepada PR di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Ia adalah referendum rakyat yang jelas nyata. Tak payah UBN (UMNO-BN) nak menafikan lagi.

BUKIT GANTANG

Mohd Nizar Jamaluddin (PAS) - 21,860
Ismail Saffian (BN-Umno) - 19,071
Kamarul Ramizu Idris (Bebas) - 62

BUKIT SELAMBAU

S. Manikumar (PR) - 12,632 undi
Dato' S. Ganesan (BN) - 10,229.
Bebas - Kesemua hilang wang pertaruhan.

BATANG AIR

Malcom Mussen Lamoh (BN) - 3,907 undi
Jawah Gerang (PKR) - 2,053 undi

Friday, April 3, 2009

WANITA PERTAMA NEGARA?

SALAM PERJUANGAN..

Setujukah anda wanita-wanita nombor satu negara memainkan peranan besar sebagai sumber inspirasi kepada kaum wanita di negara mereka? Kalau setuju, siapakah wanita pertama Malaysia sekarang ini?

Kita telah mempunyai Wanita No.1 baru semalam, 3/4/09 (Jumaat) apabila Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-6. Apakah yang ada pada diri, karektor dan peribadi wanita ini? Wajarkah beliau dicontohi dan dijadikan ikutan secara positif oleh kaum wanita negara ini, baik sebagai seorang individu, mahupun sebagai seorang isteri dan ibu - malah sebagai ibu tiri juga?

Renungkanlah petikan berikut yang dipetik dari http://dppwp.wordpress.com/2007/07/10/..

" Belum pun reda isu ‘hangat’ suaminya Dato’ Seri Najib Tun Razak dikaitkan dengan gambar mendiang Altantuya Shaariibuu, Datin Seri Rosmah Mansor menyemarakkan lagi ‘api’ publisiti dengan sikapnya yang didakwa berbelanja secara mewah dan membazir di luar negara.

Perkara ini dibangkitkan oleh Pengarah Strategik KeADILan Saifuddin Nasution dalam laporan akhbar Suara KeADILan terbaru, mendakwa isteri Timbalan Perdana Menteri itu, mempunyai tabiat membeli-belah yang membazir sehingga layak digelar Imelda Marcos Malaysia"

Wanita pertama negara ??? jom kita tengok gambarnya. :)




JOM MENYANYI SAMA-SAMA :)



JOM BERIKLAN



Thursday, April 2, 2009

BUKIT SELAMBAU :- SATU ANALISIS

PRK Dun Bukit Selambau, Kedah akan diadakan pada 7 April ini. Berbanding dengan Bukit Gantang dan Batang Air yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, manakala PRK Bukit Selambau diadakan ekoran perletakan jawatan oleh Adunnya yang tidak tahan ditekan oleh hulubalang UMNO-BN. Tekanan politik diwujudkan dengan cara mengugut, mengancam serta membuat tawaran berupa rasuah untuk 'memindahkan' kerusi Dun berkenaan secara paksa selain beberapa kerusi Dun yang lain. Maka kegagalan BN memperolehi Dun-dun berkenaan secara mudah akan menyaksikan Pakatan Rakyat berhadapan kejahatan BN buat sekian kalinya pada PRK Bukit Selambau.

Akan tetapi, jika di Bukit Gantang para pengundinya perlu bangkit untuk memberi mesej jelas penolakan rakyat kepada rompakan kuasa di Perak, manakala, Bukit Selambau pula pengundi perlu memastikan BN kekal kalah untuk menunjukkan kuasa rakyat dalam menafikan usaha-usaha BN menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah secara tidak demokratik.

Kita adalah rakyat, yang perlu bertidak sebagai penyelamat negara dari politik ganas yang bakal berlaku di bawah pemerintahan Najib. Rekod Najib bukanlah bersih. Skandal beliau dan tindak-tanduknya terhadap Pakatan Rakyat telah kita sedia maklum. Kemenangan Pakatan Rakyat juga akan menjadi suara untuk menafikan dakwaan Umno bahawa mereka telah berubah serta kembali diterima rakyat.

ALANGKAH RAMAINYA CAlON BEBAS

Ya, memang daRi satu sudut ianya lambang demokrasi. Namun, dari sudut lain ianya dilihat sebagai usaha terancag BN untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah. Setuju atau tidak kesemua calon Bebas tersebut merupakan proksi BN yang bertujuan melarikan undi.

Tetapi yang baculnya, media pro-BN mendakwa ramainya calon bebas sebagai lambang perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Sedangkan kalau diperhatikan, hakikat sebenar menunjukkan bahawa calon-calon tersebut mempunyai latarbelakang keterlibatan dan jawatan mereka dalam parti-parti komponen BN.

BAKAL EXCO

Pemilihan Manikumar ternyata tepat. Walaupun berketurunan India, beliau juga rapat dengan kaum lain. Beliau bukan sahaja dibesarkan dalam kelompok masyarakat pelbagai kaum, malah mendapat pendidikan dari sekolah yang ramai pelajar Cina dan Melayu selain isterinya juga mengajar di sekolah aliran Cina.

Manikumar bukan sahaja perlu menang untuk menjadi Adun Pakatan Rakyat bagi Bukit Selambau, tetapi beliau adalah bakal exco sekiranya menang. Kerajaan Kedah telah melengkapkan Exco mereka dari pelbagai kaum utama di Semenanjung Malaysia kecuali India, oleh itu bagi PRK Bukit Selambau ini menuntut kepada perlunya Pakatan Rakyat meletakkan calon India.

Selain itu, beliau juga termasuk dalam kelompok berpendidikan tinggi dan profesional. Ciri-ciri ini memenuhi perjuangan Pakatan Rakyat ke arah membawa masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu terdiri dari masyarakat pelbagai kaum. Sedang parti komponen BN pula akan bersisa dan ketinggalan dari arus mentaliti dan perpaduan kaum yang semakin utuh di bawah Pakatan Rakyat.

AGENSI KERAJAAN MENJADI ALAT

Pilihan raya adalah melibatkan pertandingan antara sesama parti politik untuk membentuk kerajaan. Sayangnya di Malaysia, BN telah menjadikan jentera kerajaan sebagai kuda tunggangan untuk kepentingan parti mereka. Lantaran itulah dapat dilihat begitu banyak sekali kenderaan-kenderaan agensi kerajaan pada tempoh berkempen ini yang sepatutnya dimasukkan dalam senarai sebagai 'mangkuk mee segera'. Malah janji Najib bahawa tidak akan ada projek 'mee segera' pada PRK ini nyata bohong belaka. BN dan projek sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Selain itu, antara yang perlu juga dipertikaikan ialah peranan pasukan polis. Jika kehadiran ramai anggota polis pada PRK Kuala Terengganu dikatakan bertujuan untuk menjaga keselamatan, tujuan itu dilihat telah tercemar untuk PRK Bukit Selambau. Pada malam ceramah Anwar Ibrahim di Taman Ria Jaya, Sungai Petani 23 Mac lalu, beberapa orang awam telah mengalami kecederaan termasuk dilaporkan media pro-BN bahawa tiga anggota polis turut cedera. Tetapi dalam suasana yang lebih 'panas' iaitu semasa hari penamaan calon, langsung tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Kesimpulannya sangat mudah. Jika tidak ada sebarang kacau ganggu atau provokasi polis tentunya tidak ada seorang pun yang bertindak diluar batasan. Tiada yang cedera dari mana-mana pihak mahupun tiada kos-kos lain terlibat. Oleh itu, anggota polis perlu benar-benar hanya menjadi anggota keselamatan bukannya menjadi sebahagian penggerak agenda BN. Wallahua’lam

e_where2006@yahoo.com

Wednesday, April 1, 2009

KAMI BERSAMA MU


IBRAHIM ALI ...

1. Siapa Ibrahim Ali?
2. Kenapa Ibrahim Ali?
3. Apa Ibrahim Ali?
4. Ada apa dengan Ibrahim Ali?


Friday, March 20, 2009

MESYUARAT AGUNG PEMUDA PAS KAWASAN KALI KE-15

SMU(A) Taqaddum Maarif, Pasir Tumbuh
Sabtu, 14 March 2009

“Marilah kita renungkan, saat-saat tragis kejatuhan zaman keagungan islam dengan berakhirnya pemerintahan Kerajaan Uthmaniah. Adalah menjadi tanggungjawab kita berjuang ke titisan darah terakhir bagi memastikan islam kan terus bersinar”

Ust Nik Abduh Nik Abd Aziz,
Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan

Mesyuarat Agung Pemuda PAS Kawasan Kbg Kerian telah melabuhkan tirainya. Beberapa kejutan telah berlaku, termasuklah kemunculan beberapa muka baru yang mendapat perhatian para perwakilan.

Majlis perasmian telah bermula dengan sesi tazkirah ringkas oleh KP Pasir Tumbuh, Ust Abd Fattah yang meminta para perwakilan & pemerhati menghayati sirah perjuangan nabi SAW. Seterusnya diikuti pula dengan nyanyian lagu rasmi PAS dan alunan merdu bacaan ayat-ayat suci Al Quran oleh Bilal Masjid Sultan Ismail Petra, Kbg Kerian yang juga merupakan bekas peserta Akademi Al Quran (AQ) Sdra Khairul Azwa.

Mesyuarat yang diadakan setahun sekali itu mempunyai bebarapa agenda untuk diketengahkan antaranya, mengesah dan menerima peringatan mesyuarat sesi lepas, membentang dan menerima penyata kewangan tahun lepas, memilih perwakilan ke mesyuarat agung PAS kawasan dan muktamar pemuda negeri, memilih jawatankuasa kerja 2009-2011 dan membahaskan usul-usul daripada ahli.

Ketua DP2K3, Cikgu Mohd Nuri dalam ucapan aluannya telah mengejutkan semua dengan hasratnya menarik diri dari mempertahankan jawatannya. Beliau juga mengumumkan Timb Ketua, Ust Zulkifli Husin menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda. Rakaman terima kasih dan kemaafan juga beliau utarakan sekiranya semasa menerajui DP2K3 selama ini wujud keputusan, pandangan mahupun tingkah laku yang mengguris perasaan semua, sambil berharap DP2K3 terus mengorak langkah kehadapan di bawah kepimpinan baru.



Sementara itu, Timb YDP PAS Kawasan yang juga ADUN Pasir Tumbuh, YB Ust Baihaki Atiqullah menarik perhatian semua dengan mengimbas semula sejarah kekejaman UMNO dalam sejarah politik tanahair.

Manakala Ust Nik Abduh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan dalam ucapan perasmiannya berbangga dengan pemuda PAS Kubang Kerian yang mempunyai ramai pelapis berkaliber yang bakal mewarisi kepimpinan dan perjuangan pimpinan sebelum ini. Beliau juga mahu pemuda menjadikan perjuangan PAS ini sebagai satu wadah yang berterusan ke arah menegakkan syiar islam dengan menjadikan sejarah kejatuhan kerajaan islam masa silam sebagai satu pengajaran berguna bagi memantapkan jemaah mahupun parti.

KEPUTUSAN PEMILIHAN AJK DP2K3 SESI 2009-2011

Ketua - Ust Zulkifli b Husain
Timb. Ketua - Ust Hafiz b. Musa
Naib Ketua - Ust Mat Bukhari b. Muhamad

AJK Yg Dipilih

1. Muzani b Mohamad
2. Ust Abd Fatah
3. Ust Ilias Ahmad
4. Ust Zahari b. Mohd Nor
5. Mohd Redwan b. Ilias
6. Nik Azhan
7. Kamaruzzaman
8. Khairul Anuar

Wallahua'lam

Wednesday, March 18, 2009

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PERLANTIKAN PEMUDA CAWANGAN

PEJABAT ADUN PASIR TUMBUH,
Jumaat, 13 March 2009

“Pemuda adalah tiang negara & agama, padanya digalas harapan masa hadapan”

Alhamdulillah, baru-baru ini bertempat di Pejabat Adun Pasir Tumbuh telah berlangsung Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Ketua Pemuda PAS Cawangan dalam DUN tersebut.

Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas oleh Ketua Pemuda PAS DUN, Ust Abd Fattah dan kata-kata aluan daripada Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan, Ust Zulkifli Husin. Dalam ucapannya, beliau antara lain merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para pemuda yang menjadi pelapis perjuangan PAS dan terpilih untuk memikul amanah tersebut serta berharap agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan daripada YB Ust Baihaki Atiqullah, ADUN Pasir Tumbuh. Beliau memetik sejarah perjuangan politik nabi SAW dan serta berharap para pemuda dapat menjalankan tugas yang diberikan dengan baik. Sesungguhnya apa yang kita laksanakan di dunia ini akan disoal di akhirat kelak.




Turut hadir, Setiausaha DUN, Abe Kob, Naib KP kawasan, Ust Hafiz dan AJK pemuda PAS Kawasan. Acara kemuncaknya, kesemua hadirin dan jemputan telah dihidangkan dengan jamuan BBQ kambing.

USRAH PERDANA BULANAN DP2K3

Masjid SMU(A) Taqaddum Maarif,
8 March 2009

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, Program Usrah Perdana DP2K3 telah berlangsung dengan baik semalam. Ianya di Masjid SMU(A) Taqaddum Maarif, Pasir Tumbuh. Sambutan yang diterima di luar jangkaan sama sekali. Tahniah kepada pemuda PAS pelbagai peringkat yang telah hadir memberikan komitmen dan sokongan.

Program di mulakan dengan solat isya' berjemaah, diikuti pula jamuan makan malam ‘nasi bungkus’ kepada semua hadirin. Seterusnya, sesi ceramah maulidurrasul pula disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Imran, Pengetua SMU(A) Bukit Mas, Tanah Merah dengan tajuk, Mewarisi Perjuangan Rasulullah Di Akhir Zaman :- Apa Peranan Pemuda.




Beliau antara lain mengesa kepada semua pejuang agama, khasnya pemuda PAS agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang terbesar dalam hidup, iaitu nikmat Islam & iman. Di samping itu juga, seruan supaya mengaplikasikan sepenuhnya penghayatan maulidur rasul serta sejarah perjuangan baginda SAW dalam kehidupan.

Majlis berakhir jam 12.00 tgh malam.

Wednesday, March 11, 2009

PASTIKAN BN TERUS BERKUASA...



Krisis di Perak,
sesungguhnya bagi mereka
matlamat itu telah..
menghalalkan cara..


BELASUNGKAWA ABE JO



"Takbirr...Allahuakbar"

Khamis, 5 Mac 2009

Begitulah laungan takbir yang saban kali bergema dari suara lantangnya, kini tidak kedengaran lagi. Tiada lagi kelibat mahupun bayangannya di tempat-tempat ceramah mahupun program anjuran PAS.

Bekas Ketua Pemuda Cawangan Chicha, Allahyarham Wan Johari (Abe Jo) telah pergi buat selama-lamanya mengadap Ilahi.

Selain itu juga Allahyarham merupakan AJK Pemuda Dun Demit yang diamanahkan menerajui Unit Amru. Semalam, (4 Mac - 11 pagi) beliau telah menghembus nafasnya yang terakhir setelah menderita lumpuh selama setahun akibat kemalangan jalanraya di ambang pilihanraya umum PRU 12 yang lepas.

Beliau merupakan seorang yang dedikasi dan penyabar. Kehilangan Abe Jo amat dirasai oleh semua, lebih-lebih lagi kepada warga pemuda pas kawasan (DP2K3). Ketika hayatnya, Abe Jo cukup terkenal dengan motosikal klasiknya, dan pernah mengendalikan beberapa buah konvoi yang melibatkan penyertaan anak-anak muda serta belia setempat.

Jasanya amat besar dan kini semuanya hanyalah tinggal memori buat kami semua.

Al-Fatihah!

Friday, March 6, 2009

USRAH DP2K3

Assalamualaikum.

Umumnya kita sedia maklum dengan cuaca politik negara yang kian tidak menentu terutamanya politik UMNO. Namun itu semua bukannya penghalang kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian (DP2K3) untuk terus menjalankan aktiviti-aktivitinya seperti biasa. Biarlah Najib dengan agenda jahatnya, Pak Lah dengan perjuangannya yang semakin sampai ke penghujungnya, tetapi DP2K3 tetap dengan program-program yang terus dirancang samaada peringkat dalaman mahupun luaran.

Semalam, telah diadakan usrah bulanan DP2K3 di rumah Naib Ketua Pemuda, Ust Hafiz b Musa di Kg Telipot, Kota Bharu. Usrah telah dinaqibkan sendiri oleh Ust Zulkifli, timbalan Ketua Pemuda DP2K3. Turut hadir Ketua DP2K3, Cikgu Mohd Nuri serta hampir keseluruhan ahlijawtankuasa.

Usrah di mulakan dengan solat isya' berjemaah, diikuti pula dengan solat hajat. Selepas itu majlis diserikan lagi dengan 'santapan' ala timur tengah, dimana para AJK dihidangkan dengan BBQ daging kambing, buah-buahan dan bihun goreng. Seterusnya, sesi tazkirah pula telah disampaikan oleh Ustaz Abd Fatah dan Ustaz Alias yang memberikan pengupasan lanjut intipati al quran daripada surah An Nahl.

Setelah selesai slot tazkirah, mesyuarat ringkas pula diadakan dengan agenda perbincangan mengenai Mesyaurat Agung Pemuda Kawasan yang akan bersidang pada 14 Mac nanti.

Majlis berakhir jam 12.30 pagi. Wallahua'lam



Friday, February 6, 2009

SEJARAH DERHAKA UMNO

Bismillahirrahmanirrahim...

Sehari dua ini, telinga kita dibingitkan dengan isu derhaka yang dimainkan oleh media. Terutamanya Tv3, RTM & Utusan Malaysia. Sungguh meloyakan. Sungguh menjemukan. Soalnya, siapa yang sebenarnya derhaka?

Mari kita lihat rentetan sejarah kisah penderhakaan dalam tanahair yang di petik dan di ubahsuai dari pelbagai sumber.

1. Pada tahun 1978, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletakkan jawatan sehingga mendorong Sultan Perak, Sultan Idris Shah menyimpan janggut dan jambang. Baginda bernazar akan mencukurnya setelah Ghazali meletakkan jawatan.

2. 1993, Tan Sri Annuar Musa berarak dari Kuala Lumpur membawa Tengku Ibrahim dan menabalkannya di bawah pohon ketereh sebagai Sultan Kelantan sedangkan Sultan sebenar masih ada.

3. Tan Sri Muhammad Mohd Taib ketika menjadi Menteri Besar Selangor pernah melarikan puteri Sultan Selangor yang dikenali sebagai Ku Yah.

4. Umno juga pernah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983. Kerakusan mahu terus berkuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk meminda peruntukan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat. Pindaan yang dikemukakan pada pertengahan tahun 1983 itu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) itu setelah baginda berbincang dengan raja-raja lain.

5. Dalam demonstrasi di pekarangan rasmi Menteri Besar Sri Iman, Kuala Terengganu pada 23 Mac tahun lalu itu, para pemimpin Umno negeri dan Pusat menderhaka terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin apabila secara terbuka berdemonstrasi yang jelas menghina kemuliaan institusi raja dalam isu pelantikan menteri besar. Penyokong Umno/BN mahu Idris Jusoh kekal sebagai Menteri Besar Terengganu. Mereka menyanggah pihak istana yang diwakili Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kerana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

6. Tindakan biadap Umno itu memang mengundang kemarahan pelbagai pihak serta menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan rakyat umum, termasuk Istana Tuanku. Antara slogan pada kain rentang yang menimbulkan ketegangan itu adalah seperti Kami Nak Idris, Natang (binatang) yang disiarkan secara meluas oleh beberapa buah stesen TV negara kita.

7. Pada tahun 1990, Umno sekali lagi bertembung dengan raja-raja selepas ia kalah teruk di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-8. Dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 1991, Umno telah melemparkan kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.

8. Istana Kelantan dibidas secara terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah. Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan kata-kata tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan serta mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya.

9. Pindaan Perlembagaan tahun 1993 menunjukkan percubaan Umno untuk menghapuskan kekebalan raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi Umno.

Akibatnya, media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang menteri mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja serta anggota kerabat diraja tertentu.

Wallahua'lam




Monday, January 26, 2009

MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGONG CAWANGAN

25 January 2009
Taqqadum Maarif, Pasir Tumbuh

Alhamdulillah, Majlis Perasmian Mesyuarat Agong PAS Cawangan Seluruh Kawasan Kubang Kerian telah berlangsung dengan jayanya.

Ianya telah dihadiri oleh ADUN Salor, YB Dato' Haji Husam Musa, ADUN Pasir Tumbuh, YB Ustaz Baihaki Attiqullah, ADUN Demit, YB Ustaz Muhamad Mustapha. Majlis tersebut telah dirasmkan oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, YBhg Ustaz Abd Ghani yang diundang khas bagi memeriahkan majlis tersebut.

Seramai 500 orang peserta telah hadir bagi mewakili 94 cawangan dalam Parlimen Kubang Kerian.

Adun Salor, YB Dato' Husam Musa dalam ucapan aluannya berpesan kepada semua wakil-wakil daripada cawangan agar meningkatkan prestasi kerja masing-masing agar lebih bersedia kerana PRU 13 mungkin akan diadakan lebih awal dari tarikh yang sepatutnya.

Beliau juga memberitahu di mana Ahli Parlimen Kuala Terengganu saudara YB Wahid Endut akan ke Kelantan untuk membuat sedikit majlis kesyukuran bersama pimpinan dan rakyat Kelantan pada 14 Februari ini.


Thursday, January 15, 2009

KETUA CAWANGAN MASUK PAS

KUBANG KERIAN
13 Jan 2009

Alhamdulillah, Saat Barisan Nasional (BN) berhempas pulas mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu, sebaliknya rakan mereka di sini pula mengisytiharkan meninggalkan parti itu. Hari ini seramai enam bekas Ketua Cawangan Umno di bahagian Kubang Kerian menyerah borang menyertai PAS kepada Yang Dipertua PAS kawasan itu, Dato' Husam Musa.

Hadir sama pada majlis bersejarah itu Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Adun Pasir Tumboh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.

Mereka yang menyertai PAS iaitu bekas ahli jawatankuasa Umno Kubang Kerian yang juga Ketua Cawangan Umno Kampung Parit Barat, Mohd Noor Mustafa, Naib Ketua Cawangan Pasir Tumboh, Mohd Basir Mohd Zain, bekas Ketua Cawangan Taman Tiong, Ismail Daud.

Selain itu anggota jawatankuasa Cawangan Padang Enggang, Zahari Yaacob, ahli di cawangan Taman Tiong, Abdullah Kadir dan Mohamed Yusoff, bekas ketua cawangan Umno Pengkalan Patah. Ismail Daud yang menjadi ahli Umno lebih 40 tahun berkata, Umno bukan lagi menjadi landasan kepada perjuangan orang Islam dan Melayu.

"Umno kini sudah hilang maruah. Kami merasakan Umno sudah hancur setelah menjalani pemilihan Umno peringkat cawangan Julai lalu. Rayuan kami terhadap penyelewengan yang berlaku tidak diendahkan pemimpin peringkat tertinggi," ujar beliau.



Mohd Basir Mohd Zain berkata, Umno sering mempermainkan hukum hudud seolah-olah memperlihatkan kejahilan mereka. Umno yang menguasai negara ini sepatutnya melaksanakan hukum hudud dan bukannya mempersalahkan PAS yang hanya berkuasa di peringkat negeri.

"Saya amat tercabar apabila pemimpin Umno mempermainkan hukum Allah dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sekarang, sedangkan mereka tahu tanggungjawab itu di bawah bidang kerajaan pusat," ujar beliau.

Mohd Noor Mustafa memberitahu lebih ramai lagi ahli dan penyokong Umno termasuk pemimpin peringkat bahagian akan menyertai PAS selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu. itu, Husam berkata, Umno Kubang Kerian dan Kelantan kini sedang dilanda masalah dalaman terutamanya selepas pilihan raya umum ke-12 dan pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini.

"Saya mengucap berbanyak terima kasih kepada mereka yang telah menyertai PAS. Ini memberi gambaran jelas akan reputasi Umno di kalangan ahli mereka sendiri telah tercemar," ujarnya. Beliau juga berkata, mereka yang menyertai PAS itu akan dibawa membantu kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dalam masa terdekat ini.


Sunday, January 11, 2009

TAHNIAH MAWE..