Thursday, July 7, 2011

10 soalan untuk ketua polis negara


1. Nyatakan akta mana yang membolehkan polis menangkap orang yang memakai baju kuning BERSIH.
2. Apakah ciri-ciri subversif yang ada pada BERSIH 2.0?
3. Mengapakah PERKASA tidak pula dianggap subversif?
4. Yang mana satu sebenarnya dikatakan menyalahi undang-undang; organisasi BERSIH, pemakaian dan penjualan baju-T BERSIH atau Perhimpunan BERSIH?
5. Mengapa Ibrahim Ali yang sudah acap kali mengeluarkan kenyataan yang mengancam keselamatan negara tidak diambil tindakan, malah diusik pun tidak?
6. Mengapa apabila puak UMNO dan PERKASA mengadakan demonstrasi yang mengancam keselamatan negara, dibiarkan?Polis mengawal sahaja.
7. Mengapa polis hanya menyuraikan secara lembut demonstran UMNO dan PERKASA yang melakukan provokasi. Mengapa tak tangkap dan gari secara kasar macam polis lakukan kepada rakyat yang menyokong BERSIH?
8. Mengapa polis tidak menjalankan tugas secara adil kepada rakyat dalam hak berhimpun secara aman?
9. Mengapa polis menutup pintu rundingan dengan penganjur BERSIH 2.0? Adakah ini kerana tekanan Menteri Dalam Negeri sendiri merangkap Naib Presiden UMNO?
10. Apakah apabila PM menyetujui perhimpunan BERSIH diadakan di stadium, maka BERSIH tidak lagi kotor pada pandangan polis?
Kami dengan ini mendesak Ketua Polis Negara menjawab persoalan-persoalan ini secara jujur demi membersihkan institusi pasukan keselamatan. Berilah peluang rakyat menilai hujah-hujah Tuan.

Monday, July 4, 2011

8 Tuntutan BERSIH 2.0


Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.

Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.