Friday, March 20, 2009

MESYUARAT AGUNG PEMUDA PAS KAWASAN KALI KE-15

SMU(A) Taqaddum Maarif, Pasir Tumbuh
Sabtu, 14 March 2009

“Marilah kita renungkan, saat-saat tragis kejatuhan zaman keagungan islam dengan berakhirnya pemerintahan Kerajaan Uthmaniah. Adalah menjadi tanggungjawab kita berjuang ke titisan darah terakhir bagi memastikan islam kan terus bersinar”

Ust Nik Abduh Nik Abd Aziz,
Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan

Mesyuarat Agung Pemuda PAS Kawasan Kbg Kerian telah melabuhkan tirainya. Beberapa kejutan telah berlaku, termasuklah kemunculan beberapa muka baru yang mendapat perhatian para perwakilan.

Majlis perasmian telah bermula dengan sesi tazkirah ringkas oleh KP Pasir Tumbuh, Ust Abd Fattah yang meminta para perwakilan & pemerhati menghayati sirah perjuangan nabi SAW. Seterusnya diikuti pula dengan nyanyian lagu rasmi PAS dan alunan merdu bacaan ayat-ayat suci Al Quran oleh Bilal Masjid Sultan Ismail Petra, Kbg Kerian yang juga merupakan bekas peserta Akademi Al Quran (AQ) Sdra Khairul Azwa.

Mesyuarat yang diadakan setahun sekali itu mempunyai bebarapa agenda untuk diketengahkan antaranya, mengesah dan menerima peringatan mesyuarat sesi lepas, membentang dan menerima penyata kewangan tahun lepas, memilih perwakilan ke mesyuarat agung PAS kawasan dan muktamar pemuda negeri, memilih jawatankuasa kerja 2009-2011 dan membahaskan usul-usul daripada ahli.

Ketua DP2K3, Cikgu Mohd Nuri dalam ucapan aluannya telah mengejutkan semua dengan hasratnya menarik diri dari mempertahankan jawatannya. Beliau juga mengumumkan Timb Ketua, Ust Zulkifli Husin menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda. Rakaman terima kasih dan kemaafan juga beliau utarakan sekiranya semasa menerajui DP2K3 selama ini wujud keputusan, pandangan mahupun tingkah laku yang mengguris perasaan semua, sambil berharap DP2K3 terus mengorak langkah kehadapan di bawah kepimpinan baru.



Sementara itu, Timb YDP PAS Kawasan yang juga ADUN Pasir Tumbuh, YB Ust Baihaki Atiqullah menarik perhatian semua dengan mengimbas semula sejarah kekejaman UMNO dalam sejarah politik tanahair.

Manakala Ust Nik Abduh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan dalam ucapan perasmiannya berbangga dengan pemuda PAS Kubang Kerian yang mempunyai ramai pelapis berkaliber yang bakal mewarisi kepimpinan dan perjuangan pimpinan sebelum ini. Beliau juga mahu pemuda menjadikan perjuangan PAS ini sebagai satu wadah yang berterusan ke arah menegakkan syiar islam dengan menjadikan sejarah kejatuhan kerajaan islam masa silam sebagai satu pengajaran berguna bagi memantapkan jemaah mahupun parti.

KEPUTUSAN PEMILIHAN AJK DP2K3 SESI 2009-2011

Ketua - Ust Zulkifli b Husain
Timb. Ketua - Ust Hafiz b. Musa
Naib Ketua - Ust Mat Bukhari b. Muhamad

AJK Yg Dipilih

1. Muzani b Mohamad
2. Ust Abd Fatah
3. Ust Ilias Ahmad
4. Ust Zahari b. Mohd Nor
5. Mohd Redwan b. Ilias
6. Nik Azhan
7. Kamaruzzaman
8. Khairul Anuar

Wallahua'lam

Wednesday, March 18, 2009

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PERLANTIKAN PEMUDA CAWANGAN

PEJABAT ADUN PASIR TUMBUH,
Jumaat, 13 March 2009

“Pemuda adalah tiang negara & agama, padanya digalas harapan masa hadapan”

Alhamdulillah, baru-baru ini bertempat di Pejabat Adun Pasir Tumbuh telah berlangsung Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Ketua Pemuda PAS Cawangan dalam DUN tersebut.

Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas oleh Ketua Pemuda PAS DUN, Ust Abd Fattah dan kata-kata aluan daripada Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan, Ust Zulkifli Husin. Dalam ucapannya, beliau antara lain merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para pemuda yang menjadi pelapis perjuangan PAS dan terpilih untuk memikul amanah tersebut serta berharap agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan daripada YB Ust Baihaki Atiqullah, ADUN Pasir Tumbuh. Beliau memetik sejarah perjuangan politik nabi SAW dan serta berharap para pemuda dapat menjalankan tugas yang diberikan dengan baik. Sesungguhnya apa yang kita laksanakan di dunia ini akan disoal di akhirat kelak.




Turut hadir, Setiausaha DUN, Abe Kob, Naib KP kawasan, Ust Hafiz dan AJK pemuda PAS Kawasan. Acara kemuncaknya, kesemua hadirin dan jemputan telah dihidangkan dengan jamuan BBQ kambing.

USRAH PERDANA BULANAN DP2K3

Masjid SMU(A) Taqaddum Maarif,
8 March 2009

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, Program Usrah Perdana DP2K3 telah berlangsung dengan baik semalam. Ianya di Masjid SMU(A) Taqaddum Maarif, Pasir Tumbuh. Sambutan yang diterima di luar jangkaan sama sekali. Tahniah kepada pemuda PAS pelbagai peringkat yang telah hadir memberikan komitmen dan sokongan.

Program di mulakan dengan solat isya' berjemaah, diikuti pula jamuan makan malam ‘nasi bungkus’ kepada semua hadirin. Seterusnya, sesi ceramah maulidurrasul pula disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Imran, Pengetua SMU(A) Bukit Mas, Tanah Merah dengan tajuk, Mewarisi Perjuangan Rasulullah Di Akhir Zaman :- Apa Peranan Pemuda.




Beliau antara lain mengesa kepada semua pejuang agama, khasnya pemuda PAS agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang terbesar dalam hidup, iaitu nikmat Islam & iman. Di samping itu juga, seruan supaya mengaplikasikan sepenuhnya penghayatan maulidur rasul serta sejarah perjuangan baginda SAW dalam kehidupan.

Majlis berakhir jam 12.00 tgh malam.

Wednesday, March 11, 2009

PASTIKAN BN TERUS BERKUASA...



Krisis di Perak,
sesungguhnya bagi mereka
matlamat itu telah..
menghalalkan cara..


BELASUNGKAWA ABE JO



"Takbirr...Allahuakbar"

Khamis, 5 Mac 2009

Begitulah laungan takbir yang saban kali bergema dari suara lantangnya, kini tidak kedengaran lagi. Tiada lagi kelibat mahupun bayangannya di tempat-tempat ceramah mahupun program anjuran PAS.

Bekas Ketua Pemuda Cawangan Chicha, Allahyarham Wan Johari (Abe Jo) telah pergi buat selama-lamanya mengadap Ilahi.

Selain itu juga Allahyarham merupakan AJK Pemuda Dun Demit yang diamanahkan menerajui Unit Amru. Semalam, (4 Mac - 11 pagi) beliau telah menghembus nafasnya yang terakhir setelah menderita lumpuh selama setahun akibat kemalangan jalanraya di ambang pilihanraya umum PRU 12 yang lepas.

Beliau merupakan seorang yang dedikasi dan penyabar. Kehilangan Abe Jo amat dirasai oleh semua, lebih-lebih lagi kepada warga pemuda pas kawasan (DP2K3). Ketika hayatnya, Abe Jo cukup terkenal dengan motosikal klasiknya, dan pernah mengendalikan beberapa buah konvoi yang melibatkan penyertaan anak-anak muda serta belia setempat.

Jasanya amat besar dan kini semuanya hanyalah tinggal memori buat kami semua.

Al-Fatihah!

Friday, March 6, 2009

USRAH DP2K3

Assalamualaikum.

Umumnya kita sedia maklum dengan cuaca politik negara yang kian tidak menentu terutamanya politik UMNO. Namun itu semua bukannya penghalang kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian (DP2K3) untuk terus menjalankan aktiviti-aktivitinya seperti biasa. Biarlah Najib dengan agenda jahatnya, Pak Lah dengan perjuangannya yang semakin sampai ke penghujungnya, tetapi DP2K3 tetap dengan program-program yang terus dirancang samaada peringkat dalaman mahupun luaran.

Semalam, telah diadakan usrah bulanan DP2K3 di rumah Naib Ketua Pemuda, Ust Hafiz b Musa di Kg Telipot, Kota Bharu. Usrah telah dinaqibkan sendiri oleh Ust Zulkifli, timbalan Ketua Pemuda DP2K3. Turut hadir Ketua DP2K3, Cikgu Mohd Nuri serta hampir keseluruhan ahlijawtankuasa.

Usrah di mulakan dengan solat isya' berjemaah, diikuti pula dengan solat hajat. Selepas itu majlis diserikan lagi dengan 'santapan' ala timur tengah, dimana para AJK dihidangkan dengan BBQ daging kambing, buah-buahan dan bihun goreng. Seterusnya, sesi tazkirah pula telah disampaikan oleh Ustaz Abd Fatah dan Ustaz Alias yang memberikan pengupasan lanjut intipati al quran daripada surah An Nahl.

Setelah selesai slot tazkirah, mesyuarat ringkas pula diadakan dengan agenda perbincangan mengenai Mesyaurat Agung Pemuda Kawasan yang akan bersidang pada 14 Mac nanti.

Majlis berakhir jam 12.30 pagi. Wallahua'lam



Friday, February 6, 2009

SEJARAH DERHAKA UMNO

Bismillahirrahmanirrahim...

Sehari dua ini, telinga kita dibingitkan dengan isu derhaka yang dimainkan oleh media. Terutamanya Tv3, RTM & Utusan Malaysia. Sungguh meloyakan. Sungguh menjemukan. Soalnya, siapa yang sebenarnya derhaka?

Mari kita lihat rentetan sejarah kisah penderhakaan dalam tanahair yang di petik dan di ubahsuai dari pelbagai sumber.

1. Pada tahun 1978, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletakkan jawatan sehingga mendorong Sultan Perak, Sultan Idris Shah menyimpan janggut dan jambang. Baginda bernazar akan mencukurnya setelah Ghazali meletakkan jawatan.

2. 1993, Tan Sri Annuar Musa berarak dari Kuala Lumpur membawa Tengku Ibrahim dan menabalkannya di bawah pohon ketereh sebagai Sultan Kelantan sedangkan Sultan sebenar masih ada.

3. Tan Sri Muhammad Mohd Taib ketika menjadi Menteri Besar Selangor pernah melarikan puteri Sultan Selangor yang dikenali sebagai Ku Yah.

4. Umno juga pernah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983. Kerakusan mahu terus berkuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk meminda peruntukan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat. Pindaan yang dikemukakan pada pertengahan tahun 1983 itu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) itu setelah baginda berbincang dengan raja-raja lain.

5. Dalam demonstrasi di pekarangan rasmi Menteri Besar Sri Iman, Kuala Terengganu pada 23 Mac tahun lalu itu, para pemimpin Umno negeri dan Pusat menderhaka terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin apabila secara terbuka berdemonstrasi yang jelas menghina kemuliaan institusi raja dalam isu pelantikan menteri besar. Penyokong Umno/BN mahu Idris Jusoh kekal sebagai Menteri Besar Terengganu. Mereka menyanggah pihak istana yang diwakili Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kerana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

6. Tindakan biadap Umno itu memang mengundang kemarahan pelbagai pihak serta menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan rakyat umum, termasuk Istana Tuanku. Antara slogan pada kain rentang yang menimbulkan ketegangan itu adalah seperti Kami Nak Idris, Natang (binatang) yang disiarkan secara meluas oleh beberapa buah stesen TV negara kita.

7. Pada tahun 1990, Umno sekali lagi bertembung dengan raja-raja selepas ia kalah teruk di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-8. Dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 1991, Umno telah melemparkan kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.

8. Istana Kelantan dibidas secara terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah. Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan kata-kata tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan serta mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya.

9. Pindaan Perlembagaan tahun 1993 menunjukkan percubaan Umno untuk menghapuskan kekebalan raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi Umno.

Akibatnya, media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang menteri mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja serta anggota kerabat diraja tertentu.

Wallahua'lam




Monday, January 26, 2009

MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGONG CAWANGAN

25 January 2009
Taqqadum Maarif, Pasir Tumbuh

Alhamdulillah, Majlis Perasmian Mesyuarat Agong PAS Cawangan Seluruh Kawasan Kubang Kerian telah berlangsung dengan jayanya.

Ianya telah dihadiri oleh ADUN Salor, YB Dato' Haji Husam Musa, ADUN Pasir Tumbuh, YB Ustaz Baihaki Attiqullah, ADUN Demit, YB Ustaz Muhamad Mustapha. Majlis tersebut telah dirasmkan oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, YBhg Ustaz Abd Ghani yang diundang khas bagi memeriahkan majlis tersebut.

Seramai 500 orang peserta telah hadir bagi mewakili 94 cawangan dalam Parlimen Kubang Kerian.

Adun Salor, YB Dato' Husam Musa dalam ucapan aluannya berpesan kepada semua wakil-wakil daripada cawangan agar meningkatkan prestasi kerja masing-masing agar lebih bersedia kerana PRU 13 mungkin akan diadakan lebih awal dari tarikh yang sepatutnya.

Beliau juga memberitahu di mana Ahli Parlimen Kuala Terengganu saudara YB Wahid Endut akan ke Kelantan untuk membuat sedikit majlis kesyukuran bersama pimpinan dan rakyat Kelantan pada 14 Februari ini.


Thursday, January 15, 2009

KETUA CAWANGAN MASUK PAS

KUBANG KERIAN
13 Jan 2009

Alhamdulillah, Saat Barisan Nasional (BN) berhempas pulas mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu, sebaliknya rakan mereka di sini pula mengisytiharkan meninggalkan parti itu. Hari ini seramai enam bekas Ketua Cawangan Umno di bahagian Kubang Kerian menyerah borang menyertai PAS kepada Yang Dipertua PAS kawasan itu, Dato' Husam Musa.

Hadir sama pada majlis bersejarah itu Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Adun Pasir Tumboh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.

Mereka yang menyertai PAS iaitu bekas ahli jawatankuasa Umno Kubang Kerian yang juga Ketua Cawangan Umno Kampung Parit Barat, Mohd Noor Mustafa, Naib Ketua Cawangan Pasir Tumboh, Mohd Basir Mohd Zain, bekas Ketua Cawangan Taman Tiong, Ismail Daud.

Selain itu anggota jawatankuasa Cawangan Padang Enggang, Zahari Yaacob, ahli di cawangan Taman Tiong, Abdullah Kadir dan Mohamed Yusoff, bekas ketua cawangan Umno Pengkalan Patah. Ismail Daud yang menjadi ahli Umno lebih 40 tahun berkata, Umno bukan lagi menjadi landasan kepada perjuangan orang Islam dan Melayu.

"Umno kini sudah hilang maruah. Kami merasakan Umno sudah hancur setelah menjalani pemilihan Umno peringkat cawangan Julai lalu. Rayuan kami terhadap penyelewengan yang berlaku tidak diendahkan pemimpin peringkat tertinggi," ujar beliau.



Mohd Basir Mohd Zain berkata, Umno sering mempermainkan hukum hudud seolah-olah memperlihatkan kejahilan mereka. Umno yang menguasai negara ini sepatutnya melaksanakan hukum hudud dan bukannya mempersalahkan PAS yang hanya berkuasa di peringkat negeri.

"Saya amat tercabar apabila pemimpin Umno mempermainkan hukum Allah dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sekarang, sedangkan mereka tahu tanggungjawab itu di bawah bidang kerajaan pusat," ujar beliau.

Mohd Noor Mustafa memberitahu lebih ramai lagi ahli dan penyokong Umno termasuk pemimpin peringkat bahagian akan menyertai PAS selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu. itu, Husam berkata, Umno Kubang Kerian dan Kelantan kini sedang dilanda masalah dalaman terutamanya selepas pilihan raya umum ke-12 dan pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini.

"Saya mengucap berbanyak terima kasih kepada mereka yang telah menyertai PAS. Ini memberi gambaran jelas akan reputasi Umno di kalangan ahli mereka sendiri telah tercemar," ujarnya. Beliau juga berkata, mereka yang menyertai PAS itu akan dibawa membantu kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dalam masa terdekat ini.


Sunday, January 11, 2009

TAHNIAH MAWE..

Monday, August 25, 2008

SISIPAN PAGI

Sokongan kepada Presiden

Alhamdulillah, berita terkini yang diterima telah menjelaskan segala-galanya. Melegakan keresahan yang melanda kami.

Syukur.. dengan penegasan dan pendirian PAS berhubung dengan soal gabungan dengan UMNO yang diwar-warkan oleh media.

Kenyataan akhbar yang di baca oleh YB Ust Nasarudin Mat Isa selaku Timbalan Presiden di lobi parlimen hari ini membuktikan bahawa PAS tidak pernah lupa kepada sejarah. InsyaAllah, kami tidak akan dipatuk 2 kali pada lubang yang sama.


Rakamkan ucapan tahniah kepada Presiden dan kami akan berdiri teguh menyokong kepimpinan PAS. Kepada semua, terutamanya rakan-rakan pemuda lipatgandakanlah usaha kita untuk meyakinkan rakyat tentang kebenaran perjuangan dan sekaligus mengajak rakyat untuk terus bersama PAS dan pakatan rakyat.

Wallahualam




Sunday, August 17, 2008

UNPLUGGED!! (PERMATANG PAUH)

Saturday, August 16, 2008

SELAMAT BERMUKTAMAR...


Blog DP2K3 mengucapkan..
Selamat Bermuktamar

kepada semua perwakilan



PERMATANG PAUH..


"Makin ditekan Makin LAWAN!
“Dari Tegap Bertimpuh,

Baik Rebah Merempuh”





Wednesday, August 6, 2008

AYAHNDA SAUFI DALAM KENANGAN



Ayahanda Saufi telah kembali ke rahmatullah. Membawa bersama jasa-jasanya yang menggunung tinggi. Seorang aktivis PAS yang cukup disegani, agak gelakar dengan pelbagai coloteh, suka berjenaka dalam membuat teguran sehingga berkesan ke lubuk hati. Gurauannya yang biasa ialah, suka mencium tangan sesiapa sahaja, walaupun dengan orang yang lebih muda.

Itulah Haji Saufi Osman, 66 yang lebih dikenali sebagai Ayahnda. Beliau meninggal dunia di rumah isteri keduanya di Bunut Payong, jam 3.30 petang semalam (Selasa, 05 Ogos 2008) akibat strok. Sememangnya kehilangan Ayahda sukar dicari ganti. Semoga Allah mencucuri rohnya dengan wangian dari syurga! Aamin

Al Fatihah




Monday, August 4, 2008

SUATU SOROTAN :- PERMATANG PAUH & ANWAR



1982 - Anwar menewaskan Zabidi Ali - PAS (14,352 majoriti)
1986 - Anwar menewaskan Mohamad Sabu - PAS (10,479 majoriti)
1990 - Anwar menewaskan Mahfuz Omar - PAS (16,150)
1995 - Anwar menewaskan Abdul Rahman Manap - DAP (23,515)
1999 - Wan Azizah menewaskan Dato' Dr Ibrahim Saad - BN (9,077)
2004 - Wan Azizah menewaskan Dato' Pirdaus Ismail - BN (590)
2008 - Wan Azizah mengekalkan kerusinya dengan majoriti - (13,388)

Saturday, August 2, 2008

REHLAH MAHABBAH DPPNK '08

Khamis - Sabtu
31 Julai – 2 Ogos 2008

Alhamdulillah, Baru-baru ini seramai 09 orang AJK DP2K3 telah mengikuti konvoi dalam program Rehlah Mahabbah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) 2008 ke Pulau Pangkor, Perak. Program tahunan ini dianjurkan oleh DPPNK yang bertujuan untuk memupuk, merapatkan ukhuwwah serta menjalinkan persefahaman di antara sesama ahli.

Khamis, 31 Julai

DP2K3 telah diketuai oleh Ketua Pemuda, Sdr Mohd Nuri Mat Yaakub. Rombongan telah bertolak dari SMU(A) Taqaddum Maarif, Pasir Tumbuh jam 10.00 pagi dengan menaiki 02 buah MPV dan seterusnya bergabung bersama dengan kesemua AJK pemuda kawasan yang lain di Jeti Lumut, pada jam 5.30 petang. Seterusnya, rombongan bertolak ke Pulau Pangkor pukul 6 petang dengan menaiki feri. Kesemua peserta menginap di Telok Dalam Resort, Pulau Pangkor.

Jumaat, 01 Ogos

Program bermula keesokan harinya dengan Subuh berjamaah diikuti dengan kuliah ringkas yang di sampaikan oleh salah seorang AJK DP2k3. Selepas makan pagi, acara sukaneka pula diadakan dengan melibatkan penyertaan kesemua AJK kawasan dalam beberapa acara sukan.

Selepas Zohor pula, program di teruskan dengan acara snorkling, mandi-manda dan sesetengah peserta pula mengambil peluang mengelilingi pulau yang bagaikan gunung di tengah lautan :- menghayati keindahan ciptaan Illahi. Benarlah, alam semesta menjadi ‘kitab terbuka’ bagi manusia dalam mengenal Tuhannya, selain dari kitab Al-Quran itu sendiri.

Al-Anbiya’: ayat 31 - “Dan Kami telah menjadikan dibumi ini gunung-gunung yang kukuh agar ia (tidak) goncang bersama mereka, dan Kami jadikan (pula) di sana jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk”.

Sebelah malamnya pula, selepas solat maghrib & Isya' berjamaah, para peserta dihidang pula dengan aktiviti BBQ yang disediakan oleh pihak resort dan diselitkan dengan acara lakonan dan pelbagai lagi yang disertai oleh setiap peserta bagi mewakili kawasan masing2.

Sabtu, 02 Ogos 2008

Selesai solat dan kuliah subuh, para peserta bergegas ke destinasi yang terakhir iaitu ke kediaman rasmi MB Perak bagi mengikuti taklimat oleh kerajaan negeri, sebelum pulang ke Kelantan melalui Cameron Highlands.



Wednesday, July 30, 2008

POSTMORTEM PRU12

PASIR TUMBUH
29 Julai 2008 (Selasa)

Bermula tengah 8 Mac lalu sehingga kini, bermacam–macam ulasan, pendapat, komen dan cadangan telah diketengahkan melalui pelbagai saluran bagi menghuraikan pelbagai pendapat, mahupun cadangan berkaitan dengan PRU12.

Pelbagai reaksi dapat dilihat. Ada yang masih sedih, terkejut dan sebaliknya. Namun begitu, dalam kita merayakan kemenangan ini, maka jangan dilupakan perjuangan kita sebenarnya hanya baru bermula. Perjalanan sebenarnya masih jauh lagi.

Saf pimpinan, pendokong dan penyokong haruslah terus menyusun strategi–strategi yang lebih ampuh, berbanding yang telah digunakan dalam PRU-12 lalu bagi terus menjamin kemenangan dalam PRU yang akan datang.

Untuk itu, Jabatan Pilihanraya PAS Kelantan telah 'turun' ke kawasan Kubang Kerian semalam, bagi melakukan post mortem berkaitan PRU12 di dewan SMU (A) Taqaddum Maarif, Pasir Tumbuh. Dianggarkan lebih 100 orang peserta telah hadir yang terdiri daripada AJK pemuda kawasan, muslimat & AJK MTD daripada ketiga-tiga DUN dalam parlimen Kbg Kerian.

Wallahua'lam



Tuesday, July 29, 2008

PROGRAM ZIARAH MUHIBAH

PASIR TUMBUH, 29 Julai

Menziarahi orang sakit adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam. Namun begitu, dewasa ini ianya di abaikan, lebih-lebih lagi di kalangan generasi baru serta masyarakat bandar. Kalau pun ada, hanya melibatkan keluarga terdekat sahaja.

Menyedari hakikat ini perlu disuburkan kembali, maka seramai 10 orang AJK Dewan Pemuda PAS Kbg Kerian pada hari ini telah melakukan ziarah berkelompok dengan mengunjungi ayah kepada AJK pemuda kawasan, Sdr. Nik Azhan di Kg. Guntung, Pasir Tumbuh.

Ayah beliau, Nik Mohamad telah diserang penyakit strok sejak 1 bulan yang lalu. Kunjungan tersebut telah diketuai oleh Ketua Pemuda, Sdr Mohd Nuri Mat Yaacob. Sedikit sumbangan kewangan telah di hulurkan bagi meringankan bebanan keluarganya.

Wallaua'lam.

Monday, July 28, 2008

LAPORAN POLIS TERHADAP DATUK SERI MOHD TAJOL ROSLI

KOTA BHARU,
29 Julai 2008 (Selasa)

Dewan Pemuda PAS Kbg Kerian hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak yang juga merupakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkaitan dengan kenyataannya yang berunsur rasuah politik.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 3 petang tadi. Ketuanya, Mohamad Nuri Yaacob, 37 berkata, tawaran bekas Menteri Besar Perak itu boleh disifatkan sebagai satu bentuk rasuah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997.

"Dalam laporan akhbar hari ini Tajol dengan jelas menyebut Umno Perak mengajak PAS bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh di mana wakil PAS kekal menjadi Menteri Besar. Manakala jawatan Exco diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan''.

"Berdasarkan kepada kenyataan itu jelas menunjukkan terdapatnya unsur 'tawaran jawatan' yang boleh disifatkan sebagai satu rasuah yang menyalahi Akta Pencegahan Rasuah 1997," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu beliau meminta pihak polis menyiasat terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut dan akhbar yang menyiarkan laporan berkenaan.

Mohamad Nuri juga menyifatkan kenyataan itu seumpama orang yang sudah tersepit dan mengharapkan pertolongan orang lain. Katanya, tindakan itu juga turut membuktikan Umno Perak masih berhasrat untuk berkuasa walaupun sudah ditolak rakyat.

Hadir sama memberi sokongan kepada laporan polis itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Baharuddin Mohd Nor dan anggota jawatankuasanya.

Dalam kenyataannya semalam, UMNO Perak mengajak PAS bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh dengan wakil Pas akan terus kekal sebagai Menteri Besar.