Naskhah belanjawan yang ‘disembunyikan’ sehingga bacaan kali pertama jam 4 petang, Jumaat, 23 Oktober 2009 dilihat sebagai bajet paling tempang sejak krisis ekonomi 1997-98; lebih sedekad lalu. Di beberapa negara maju, teks bajet akan terlebih dahulu dipamer—lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan internet—kepada umum untuk dibincang terlebih dahulu. Ia tidak berlaku di Malaysia. Tidak pernah!
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak masih meneruskan amalan kuno meskipun berapi-api sejak menjadi PM, konon, mahu melakukan ‘pembaharuan’.
Tatkala diperakui—meski tidak secara langsung menyentuh penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)—sesungguhnya ekonomi Malaysia jelas tidak pernah mampu bangun untuk kembali bersaing di peringkat serantau, apatah lagi global.
Tentulah saya ingat, bagaimana di dalam pembentangan bajet pada Oktober tahun lalu, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan tahun ini yang pada awalnya dikatakan lebih 5%. Kemudian dikurangkan menjadi sekitar 3%.
Dua angka yang diberikan itu adalah tatkala Indonesia yang kini lebih deras pertumbuhannya menyebutkan unjuran hanya sekitar 3%. Singapura pula lebih realistik perkiraannya mengunjurkan angka -1%. Bayangkan bagi sebuah negara yang dikenali begitu cermat mengatur pertumbuhan pun hanya berani menyebutkan di bawah paras 1%. Tetapi pemerintah Malaysia, kala itu, terus khayal dan angkuh.
Tidak mahu mengakui kelemahan sendiri. Dalam kata mudah, langsung tidak mahu bermuhasabah, merenung kepincangan di dalam sistem pemerintahan dan ekonomi domestik. Hanya gelabah menukar-nukar angka pertumbuhan daripada 5 menjadi 3, dan 3 menjadi di bawah 1%.
Seperti biasa, elemen luar akan dituding sebagai penyebab kelembapan ekonomi. Namun, apakah menetapkan sasaran yang tidak berasas iaitu sehingga lebih 5% dan kemudiannya 3% tatkala pertumbuhan dalam negara lemah, juga adalah salah pihak luar? Hanya di dalam Pakej Ransangan kedua, barulah disebutkan secara ‘bisik-bisik’ bahawa pertumbuhan tahun ini dijangka hanya sekitar -1%, iaitu, sama dengan apa yang diunjurkan oleh Singapura.
Keangkuhan dan sikap sering menyalahkan faktor luar termasuk ketidaktentuan harga minyak mentah di pasaran dunia tidak dapat menyembunyikan kelemahan sendiri. Angka pertumbuhan terkini bagi tahun hadapan pula diunjurkan -3% peratus. Merosot lagi -2% berbanding tahun ini—sementara kita lihat, Indonesia yang dahulunya begitu payah untuk memacu ekonomi, mengunjurkan pertumbuhan lebih mapan iaitu mencecah lebih 5%, atau 7-8% lebih tinggi berbanding Malaysia.
Secara mikro ekonomi, Najib hilang fokus. Beliau tidak pasti kepada aspek atau bidang mana yang perlu diberi keutamaan selain menaburkan jumlah perbelanjaaan secara rawak. Krisis makanan global yang memuncak pada pertengahan tahun lalu tidak dijadikan asas untuk kembali memperkukuh sektor pertanian secara lebih radikal dan segera bagi memastikan pengeluaran produk tani dan makanan mencukupi.
Peruntukan yang dianggap besar sehingga RM6 bilion itu tidak lebih hanya untuk penyediaan infrastruktur pertanian di samping tidak ada jaminan ianya dapat memberi kesan langsung kepada petani dan lapangan pertanian. Agak membimbangkan apabila “romantisme” Najib kepada pencapaian Allahyarham Tun Razak Hussein bagi memusatkan dan mendominasi sektor pengeluaran makanan hanya di bawah Felda. Konsortium usahasama tiga agensi kerajaan itu menerima suntikan khusus sejumlah RM300 juta bagi menjayakan idea “gedung makanan negara”.
Kerajaan Najib akan menjadi kerajaan yang semakin memberat. Birokrasi bakal menjadi lebih ketat dan tentunya mempersulit pertumbuhan pasaran liberal. Mudahnya, birokrasi adalah “raja pasaran”, dan bukannya pasaran itu sendiri dapat menentukan dinamikanya sendiri.
Pada tingkat ini, Najib nampaknya bukan sahaja tidak mengerti bahawa aliran pertumbuhan dunia kini semakin bergerak ke arah dasar “ekonomi bebas” dan bukan lagi ekonomi dengan “kawalan’ atau “cengkaman negara” sepertimana kebanyakan negara blok komunis dan sosialis di era Perang Dingin.
Peliknya “pusingan ke belakang ini” dibuat ketika kerajaan sedar bagaimana peranan sektor swasta menguncup, terutama sejak sedekad lalu. Apa yang mahu dijayakan kerajaan, termasuk projek mega di bawah sekian banyak koridor pembangunan tampak sulit untuk dijayakan—projek yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah Badawi.
Pemberian insentif atau potongan cukai pendapatan sehingga 11% kepada para pekerja mahir yang bekerja di Wilayah Pembangunan Iskandar, misalnya tidak lain menunjukkan kerajaan begitu terdesak melihat kelembapan kemajuan projek berkenaan; sedangkan cukai individu kepada warganegara lain masih berada di paras 26%. Pengurangan 1% daripada tahun lalu.
Insentif atau pengurangan cukai peribadi yang dianggap sebegitu tinggi tidak bermakna kerajaan mampu menampung kos pembangunan mahupun hutang yang terus meningkat. Penerbitan perbagai bon atau skim simpanan baru tidak lain adalah petanda bahawa cairan wang rakyat yang berada di dalam pasaran mahu diceduk semula masuk ke dalam perigi kewangan kerajaan.
Sebuah skim seumpama KWSP yang diwujudkan, dinamakan Skim Persaraan bagi Golongan Bekerja Sendiri kepada orang ramai adalah petanda bahawa kerajaan kekurangan simpanan tunai. Bagi nelayan (contoh yang dibawakan oleh Najib sendiri) yang mencarum RM100 sebulan, pada umur 35 tahun akan hanya memperolehi semula wang mereka selepas melepasi usia pesaraan, iaitu 55 tahun. Jumlah wang yang bakal mereka perolehi selepas mencarum selama 20 tahun hanya RM40 ribu, dengan tambahan caruman kerajaan pada kadar 5%. Tidak ada sebarang jaminan bahawa wang mereka kelak tidak digunakan untuk menampung atau ‘menampal’ apa-apa projek kerajaan yang terancam sepertimana kerajaan pernah merangkus wang KWSP.
Apa yang harus diperhitungkan ialah, tentunya kerajaan menetapkan sejumlah wang tunai yang besar di mana rakyat yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pekebun dan peniaga kecil, tunai golongan ini dapat dikutip tiap-tiap bulan. Atau, dalam kata mudah, institusi yang menjaga kepentingan kewangan pekerja kerajaan dan swasta seperti KWSP bolehlah dikatakan sudah kekeringan tunai untuk membiayai projek mahupun program ekonomi kerajaan.
Pengurusan ekonomi Najib yang boleh ditafsir sebagai “anti-pasaran” semakin jelas apabila beliau mensyaratkan satu lagi kadar bunga yang tinggi kepada pengguna kad kredit yang kini mencecah 11 juta pelanggan. Satu hakikat yang sewajarnya dipertimbangkan oleh kerajaan ialah rakyat atau pengguna akan tetap berbelanja, dan menghalang daripada rakyat berbelanja adalah suatu kebijakan yang tidak bijak, walaupun alasannya konon untuk “rakyat berbelanja dengan bijak”.
Seruan agar rakyat “berbelanja dengan bijak” seperti yang dibebelkan Najib sangat diragui bahawa sebenarnya kerajaanlah yang berkehendak agar wang perbelanjaan berkenaan mengalir ke dalam akuan kerajaan; lari daripada pasaran.
Dalam kata lain, kerajaan akan berselindung di sebalik pembinaan infrastruktur sebagai lambang pembangunan—sedangkan sekian lama, di sanalah yang dibimbangi akan hanya menjadi lubuk berlakunya ketirisan sepertimana Laporan Audit Negara seminggu sebelum ini.
Apakah kita masih terpukau dengan beberapa pembangunan infrastruktur seperti yang diperuntukan di Wilayah Pembangunan Iskandar sehingga RM3.5 bilion (bersamaan lebih separuh daripada bajet untuk sektor pertanian!); atau RM1.3 bilion untuk menaik taraf politeknik; RM1.8 bilion untuk pembinaan sekolah baru; RM9 bilion untuk jalan dan jambatan sehinggalah pembinaan 14 mahkamah baru khas untuk kes rasuah; akan menjadikan tidak berlakunya rasuah dan ketirisan?
Seperti yang saya ungkapan di awal analisa ini, beliau nampaknya sengaja mahu meneruskan sistem dan amalan lapuk ekonomi-politik rejim Umno-BN dengan pemerintah mahu mengawal lapangan ekonomi lebih daripada kemampuannya. Hanya dengan cara sebegini, maka parti pemerintah, misalnya Umno dapat terus membiayai kerja-kerja politik untuk mengekalkan kuasa mereka. Kepentingan negara dan rakyat tidak diletakkan lebih tinggi daripada kepentingan parti politik.
Mengapakah tidak dipertanyakan persoalan akan kemelut tabung bantuan untuk peniaga kecil dan sederhana seperti TEKUN, gagal? Masakan tidak gagal, walaupun disediakan peruntukan sehingga RM200 juta tahun hadapan, tetapi yang berlaku di bawah pemohon pinjaman wajib mengisi borang Umno! Begitu juga dengan skim pinjaman atau bantuan kerajaan lainnya yang tidak akan pernah bisa profesional dan terlepas daripada percaturan politik ganas parti pemerintah.
Hambatan pertumbuhan ekonomi sebegini, yang kadang kala sangat kebudak-budakan terus berlangsung di dalam retorika bajet petang Jumaat, yang dalam masa yang sama terus mengumandangkan mantra “asas ekonomi negara terus kukuh”.
Ya, ‘kukuh’! Kukuh tatkala nelayan terpaksa ‘melabur’ RM100 sebulan untuk mendapat RM40 ribu selepas 20 tahun, sementara orang luar dilayan laksana anak emas dengan potongan cukai sehingga 11% berbanding rakyat biasa! Mengukur daripada semua siri pilihanraya kecil, termasuk yang terbaru di Bagan Pinang, dapat dirasakan bahawa parti pemerintah membelanjakan wang yang bukan kepalang. Lantas, sangkaan bahawa Umno-BN memang semakin ketandusan sumber ringgit ada asasnya, lebih-lebih lagi selepas mereka kehilangan sumber daripada dua negeri penting iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
Maka, tidak hairanlah bagaimana Najib secara terang-terangan menyebutkan bahawa kerajaan akan memaksimakan pengunaan harta-benda mahupun tanah milik kerajaan Persekutuan sebagai ‘sumber baru’ pendapatan kerajaan. Saya ada satu contoh bagaimana yang dimaksudkan bahawa harta atau tanah kerajaan persekutuan yang boleh mendatangkan hasil kepada segelintir orang, walaupun ia sewajarnya milik rakyat terbanyak.
Misalnya dalam sesi parlimen awal tahun ini, Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas bertanyakan kebenaran tentang Kem Transit Tentera Jalan Ampang yang dikatakan akan dipindahkan ke kawasan baru. Beliau meyakini bahawa tapak kem itu akan—bahkan sudah—diserahkan kepada sebuah syarikat untuk dijadikan kawasan komersial, iaitu pembinaan premis kondominium mewah dan komersial.
Persoalan yang timbul adalah perjanjian di antara kerajaan dan pihak swasta itu tidak dibentangkan di dalam Parlimen. Rundingan dan perjanjian yang sudah beberapa kali mencapai persetujuan itu dikatakan tidak akan menguntungkan kepada kerajaan kerana ia berat sebelah. Ia terjadi, sekali lagi, kerana dipercayai ada kepentingan pihak tertentu di peringkat tertinggi di dalam projek berkenaan.
Akibat kegagalan dan gagalnya untuk muhasabah oleh pemerintah, maka antara jalan mudah untuk meraih sokongan tidak lain adalah dengan menabur “gula-gula politik” di sana sikit, di sini sikit.
Pembiayaan mahupun pinjaman sejumlah RM200 juta kepada kegiatan seni tidak akan merubah atau menganjak mentaliti rakyat ke tingkat lebih tinggi. Kita tidak lupa bagaimana perunjukan lebih besar pernah diberikan sebelum ini di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohammad yang akhirnya hanya terbengkalai di tengah jalan. Apatah lagi andai gula-gula itu hanya bernilai RM50 kepada mahasiswa untuk memiliki komputer dan pengunaan internet broadband.
Bajet ini “bajet mengundur ke belakang”—yang boleh mengheret Malaysia terpelosok ke bawah paras ekonomi lebih parah apabila terus gagal bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa. Bajet Najib ternyata bukan sesuatu yang boleh diharap untuk berlangsungnya sebuah pembaharuan dan reformasi. Perubahan hanya retorika politik. Hanya untuk meraih undi. Memang benarlah kata pujangga, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!
Bajet ini tidak lebih hanya dalih baru daripada kerajaan yang meniti hujung usia kuasanya.
Artikel ini diubahsuai dari blog seorang 'sahabat'